Singapura kesan 2 kes komuniti

SINGAPURA, 16 JUN – Singapura yang akan memasuki Fasa Kedua pembukaan semula mulai 19 Jun, telah mengesahkan 151 kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas.

Jumlah terkini itu menjadikan keseluruhan 40,969 kes di negara itu.

“Berdasarkan siasatan kami setakat ini, terdapat dua kes dalam komuniti, kedua-duanya pemegang pas kerja. Tiada kes warga Singapura atau penduduk tetap,” menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan di sini.

Kementerian itu memaklumkan bahawa sebahagian besarnya masih merupakan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 1,799 sebagai kes komuniti, 581 kes import dan 38,438 kes pekerja asing di asrama. – Bernama