Singapura, Korea selatan lancar VTL 15 Nov ini

SINGAPURA, 8 OKT – Singapura dan Korea Selatan sepakat untuk melancarkan Laluan  Perjalanan Vaksinasi (VTL), untuk mereka yang lengkap vaksin COVID-19,  bermula dari 15 November 2021, menurut Kementerian Pengangkutan Singapura.

VTL yang bakal dilancarkan bersama itu akan menjadi yang pertama seumpamanya untuk dua hab penerbangan utama Asia berkenaan dan mengukuhkan lagi hubungan yang sejak sekian lama terjalin dalam merancakkan kembali perjalanan udara rentas sempadan serta aliran perjalanan rakyat.

“Saya gembira kedua-dua negara telah bersetuju untuk bersama-sama melancarkan VTL yang akan membuka kembali perjalanan antara kedua-dua negara, yang terjejas sepanjang 20 bulan lepas,” kata Menteri Pengangkutan S. Iswaran dalam satu kenyataan hari ini.

Iswaran berkata Singapura dan Korea Selatan telah menunjukkan kemajuan memberangsangkan dalam program vaksinasi dan VTL mencerminkan kepercayaan kedua-dua negara terhadap kemampuan masing-masing untuk menguruskan situasi COVID-19.

“Ini adalah satu lagi kejayaan ketika kami sedang berusaha secara berhati-hati dan terancang untuk membuka kembali sempadan Singapura dan perjalanan udara,” kata Iswaran.

Pejalan kaki melalui sebuah taman di Seoul. Negara itu dan Singapura bakal mengadakan laluan perjalanan vaksinasi yang akan menyaksikan pengembara kedua-dua negara yang sudah divaksin akan dapat memasuki negara itu tanpa melalui kuarantin. – AFP

Menurut kenyataan itu, sebelum COVID-19 Singapura dan Korea Selatan saling menjadi antara destinasi pelancongan utama satu sama lain, dengan jumlah 64 perkhidmatan penumpang mingguan menghubungkan kedua-dua negara dan membawa 1.6 juta penumpang setiap tahun.

Di bawah VTL, pelancong yang lengkap divaksin boleh melakukan perjalanan antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, dan akan menjalani ujian Polymerase Chain Reaction (PCR), menggantikan kuarantin atau Notis Tinggal di Rumah, katanya.

Tiada sekatan dikenakan untuk tujuan atau syarat perjalanan atau kawalan jadual atau penajaan, menurut kementerian itu. Bagi menyokong VTL, menurut kementerian kedua-dua pihak juga sepakat mengenai perakuan bersama sijil vaksinasi COVID-19.

Ini membolehkan pelancong yang lengkap divaksin serta mempunyai sijil vaksin sah, menikmati program pengurusan keselamatan pengesahan vaksinasi di kedua-dua negara terbabit.

Di bawah VTL, menurut kementerian pelancong mesti memenuhi kriteria kelayakan serta mematuhi langkah-langkah kawalan sempadan dan keperluan kesihatan awam untuk perjalanan ke negara masing-masing. – Bernama