Singapura langkaui paras 33,000

SINGAPURA, 28 MEI – Singapura, secara awal, mengesahkan tambahan 373 kes lagi jangkitan COVID-19 setakat tengah hari ini dengan kesemuanya tidak melibatkan warga tempatan atau pemastautin tetap.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif COVID-19 di republik ini meningkat kepada 33,249 kes dengan kira-kira 52 peratus atau 17,276 pesakit telah pulih sepenuhnya setakat kelmarin.

Dalam kenyataannya hari ini, Kementerian Kesihatan Singapura berkata data setakat tengah hari ini menunjukkan sebahagian besar kes melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Sementara itu, berdasarkan data lengkap yang dikeluarkan lewat kelmarin, Singapura mengklasifikasikan 1,670 sebagai kes tempatan, 580 kes import dan 30,039 sebagai pekerja asing yang tinggal di asrama.

Setakat semalam, 525 kes masih dirawat di hospital dengan tujuh ditempatkan di unit rawatan rapi sementara 23 meninggal dunia.

Kementerian itu berkata seramai 15,052 pesakit bergejala ringan atau sihat dari segi klinikal namun positif COVID-19 telah diasingkan dan ditempatkan di fasiliti awam.

Satu kluster baharu dikesan semalam melibatkan sebuah asrama di 38 Tuas View Square sementara tiada kes baharu berkait kluster terbesar di republik iaitu S11 Dormitory @ Punggol yang pada masa ini merekodkan 2,683 kes, dilaporkan.

Sementara itu, asrama terbesar Singapura, Sungei Tengah Lodge di 500 Old Choa Chu Kang Road, mencatatkan 1,961 kes. – Bernama

Tempat duduk di salah sebuah kawasan awam di pusat peniagaan Singapura ditutup sementara dalam usaha mencegah perhimpunan ramai dan bagi mengekang penularan virus. – AFP