Singapura lanjutkan tempoh sah VEP

SINGAPURA, 26 MAC – Singapura akan melanjutkan tempoh sah Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) untuk kenderaan berdaftar di Malaysia sehingga 30 Jun tahun ini.

Pelanjutan itu diberikan bagi memudahkan pekerja Malaysia untuk terus kekal di sini bagi tempoh lebih panjang dalam perkembangan situasi terkini COVID-19, menurut Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) republik itu dalam kemas kininya di laman Facebook. Berdasarkan pemantauan LTA, ramai pekerja Malaysia memilih untuk kekal di Singapura berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa di Malaysia, dan LTA memaklumkan tiada keperluan bagi pemandu Malaysia untuk mengemukakan sebarang permohonan bagi pelanjutan berkenaan. – Bernama