Singapura lapor 60 kes baharu, 10 import

SINGAPURA, 26 OGOS – Singapura mengesahkan terdapat 60 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas.

“Berdasarkan siasatan kami setakat ini, ada tiga kes dalam komuniti, satu daripadanya rakyat Singapura dan dua lagi pemegang pas kerja,” kata Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam data ringkas yang dikeluarkan hari ini.

Kementerian itu berkata 10 kes import diserahkan notis duduk di rumah (SHN) sebaik tiba di Singapura.

Kes terbaharu ini menjadikan jumlah kumulatif mereka dijangkiti di republik itu kepada 56,495.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 861 kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,219 kes komuniti dan 53,355 kes penghuni asrama.

Sejumlah 54,816 pesakit sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan didiscaj daripada hospital atau pusat penjagaan komuniti.

Sementara itu, 78 kes disahkan masih lagi di hospital tetapi tiada yang dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia kerana komplikasi COVID-19 di republik itu. Dalam satu kenyataan berasingan hari ini, kementerian itu berkata mereka yang memasuki Singapura dan mempunyai sejarah perjalanan, termasuk transit di Korea Selatan dalam tempoh 14 hari lepas perlu melengkapkan arahan SHN selama 14 hari di pusat SHN yang ditetapkan dan bukannya di kediaman sendiri. – Bernama