Singapura laraskan pendirian dasar monetari

SINGAPURA, 13 April – Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) memutuskan untuk menaikkan sedikit kecenderungan jalur dasar kadar pertukaran efektif nominal dolar Singapura (S$NEER) daripada sifar peratus sebelum ini.

“Lebar jalur dasar dan paras yang berpusat itu akan dikekalkan,” menurut pihak berkuasa itu dalam Kenyataan Dasar Monetari yang dikeluarkan di sini.

MAS berkata keputusan itu dibuat berasaskan jangkaan bahawa ekonomi negara berkemungkinan kekal pada landasan pengembangan kukuh pada 2018.

Tekanan menaik ke atas Inflasi Teras MAS juga dijangka berterusan sepanjang tahun ini dan seterusnya, disokong oleh pasaran tenaga kerja yang lebih baik, menurut MAS.

“Pendirian dasar ini selaras dengan jalur dasar pergerakan S$NEER yang meningkat secara berperingkat dan sederhana sekali gus akan memastikan kestabilan harga jangka sederhana,” menurut bank pusat Singapura itu.

Seorang pelanggan mengeluarkan mata wang tunai Singapura dari mesin ATM di Singapura pada 13 April. Singapura telah memperkukuhkan dasar monetarinya pada 13 April dalam menjangkakan pertumbuhan mantap tahun ini, namun memberi amaran mengenai risiko daripada ketegangan perdagangan global. – AFP

Kadar pertukaran efektif nominal (NEER) merupakan kadar purata wajaran tidak terlaras bagi pertukaran??????? mata wang sesebuah negara kepada kumpulan pelbagai mata wang asing.

Dalam ekonomi, NEER adalah petunjuk daya saing antarabangsa sebuah negara dari segi pasaran tukaran asing.

MAS berkata pelarasan yang dinilai bagi pendirian dasar itu mengambil kira ketidaktentuan prestasi makroekonomi yang ditunjukkan oleh ketegangan perdagangan berterusan.

Ia berkata peningkatan pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat dan China kekal ada, dan sekiranya berlaku, ia akan memberi kesan ketara kepada perdagangan dunia.

Memetik Unjuran Awal yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan dan Industri hari ini, MAS berkata, ekonomi Singapura, berasaskan tahun ke tahun, meningkat kira-kira 4.3 peratus pada suku pertama 2018, susulan pertumbuhan 3.6 peratus pada 2017 secara keseluruhannya.

Keseluruhannya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Singapura pada 2018 sewajarnya?????? meningkat sedikit melepasi kadar pertengahan julat unjuran antara 1.5 peratus dan 3.5 peratus. – Bernama