Singapura luluskan ayam buatan makmal

SINGAPURA, 2 DIS – Daging ayam dihasilkan dalam makmal bakal menjadi hidangan di restoran di Singapura untuk julung kalinya, selepas negara itu menjadi yang pertama meluluskan daging dicipta tanpa menyembelih mana-mana haiwan.

Daging terbabit yang dicipta daripada sel haiwan dan dihasilkan dalam bioreaktor, telah mendapat kelulusan untuk dijual di Singapura sebagai ramuan juadah ayam, menurut syarikat Eat Just yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, perkembangan terbabit menandakan ‘penemuan baharu dalam industri makanan global’ sejajar usaha menghasilkan daging melalui kaedah kurang menjejaskan alam sekitar.Menurut Eat Just, pengambilan daging diramalkan meningkat lebih 70 peratus menjelang 2050, dan pakar sering memberikan amaran bahawa ia adalah pendorong utama kepada perubahan iklim.

“Saya pasti bahawa kelulusan kawal selia diperoleh kami untuk daging kultur, akan menjadi yang pertama di Singapura dan negara serata dunia.

“Melalui kerjasama dengan sektor pertanian lebih luas dan pembuat dasar yang berfikiran ke hadapan, syarikat seperti kami boleh membantu memenuhi permintaan semakin meningkat terhadap protein haiwan sejajar pertambahan penduduk dunia kepada 9.7 bilion menjelang 2050,” kata pengasas serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Eat Just, Josh Tetrick.

Menurut syarikat itu lagi, pemeriksaan terhadap keselamatan dan kualiti produk ‘kultur’ keluarannya – istilah bagi daging dihasilkan dalam makmal daripada sel haiwan – memenuhi piawaian makanan. – AFP

Ayam buatan makmal yang dikeluarkan oleh Eat Just. – Agensi