Thursday, January 23, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Singapura luluskan undang-undang polis kawal akaun bank individu

    SINGAPURA, 8 JAN – Singapura telah meluluskan undang-undang yang memberi kuasa kepada polis untuk mengawal akaun bank seseorang jika terdapat bukti individu itu ditipu.

    Undang-undang itu telah diluluskan kelmarin, dipercayai yang pertama seumpamanya di dunia.

    Ia membenarkan polis dan pegawai jabatan hal ehwal komersial – agensi penyiasatan jenayah yang dilakukan oleh pihak profesional dalam perniagaan di bandar itu – memerintahkan urus niaga bank dihentikan jika terdapat bukti kukuh bahawa pemegang akaun akan memindahkan wang kepada penipu, walaupun dengan rela hati.

    Sesiapa yang dikenakan dengan perintah sekatan akan digantung akaun bank, akses ATM dan kemudahan kredit mereka, tetapi boleh mengeluarkan dana untuk perbelanjaan hidup harian, mengikut undang-undang.

    “Tujuannya adalah untuk memberi lebih banyak masa kepada polis bagi melibatkan diri dan meyakinkan individu itu bahawa dia telah ditipu, termasuk melalui bantuan ahli keluarganya,” kata Menteri Negara Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura, Sun Xueling, kepada Parlimen.

    Beliau berkata, ‘perintah sekatan hanya akan dikeluarkan sebagai pilihan terakhir jika semua usaha lain untuk meyakinkan individu itu telah gagal.’

    Ia boleh diperbaharui tidak melebihi lima kali dalam had masa 30 hari.

    Perlindungan sedia ada adalah tidak mencukupi, katanya, kerana ‘pemindahan akibat terpengaruh pada diri sendiri’ menyumbang 86 peratus daripada semua laporan penipuan dan 94 peratus kerugian dari Januari hingga September tahun lepas.

    “Saya tidak mengetahui negara lain mempunyai undang-undang yang sama,” kata penganalisis politik, Eugene Tan, kepada AFP hari ini. “Ia adalah perundangan yang unik, direka untuk keadaan khusus Singapura,” tambahnya. – AFP

    Envato

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda