SINGAPURA, 8 OKT – Selaras dengan penyambungan semula aktiviti ekonomi Singapura di tengah-tengah pandemik COVID-19, dua syarikat kapal persiaran dibenarkan menawarkan khidmat pelayaran selamat bermula November 2020 dengan protokol keselamatan yang dipertingkatkan, menurut Lembaga Pelancongan Singapura (STB).
Bagi membolehkan masa untuk mengkaji semula operasi protokol keselamatan yang dipertingkatkan itu, STB berkata kapal persiaran World Dream milik Genting Cruise Lines akan memulakan pelayaran perintis itu pada 6 November manakala kapal Quantum of the Seas milik Royal Caribbean International akan mula belayar pada Disember. Kedua-dua kapal itu menggunakan Singapura sebagai pelabuhan utamanya.
“Pelayaran perintis ini merupakan peluang yang sangat berharga bagi pengendali kapal persiaran untuk mencipta semula pengalaman pelayaran demi mengembalikan keyakinan penumpang,” kata Ketua Eksekutif STB Keith Tan dalam kenyataan di sini hari ini. – Bernama