Singapura musnahkan gading rampasan

SINGAPURA, 11 OGOS – Singapura hari ini mula memusnahkan sembilan tan gading rampasan, langkah terbesar dilakukan dalam masa beberapa tahun kebelakangan, termasuk gading seludup daripada lebih 300 gajah Afrika.

Pemusnahan dibuat menjelang Hari Gajah Sedunia esok dan bertujuan menghalang gading-gading itu memasuki pasaran dan menjejaskan rantaian bekalan global gading yang diniagakan secara haram, menurut Lembaga Taman Nasional Singapura.

Jurucakap wanita lembaga itu memberitahu AFP bahawa ia akan mengambil masa tiga sehingga lima hari untuk semua gading – dirampas antara tahun 2014 dan 2019 – dapat dimusnahkan, kemudian sisa-sisanya akan dibakar.

“Pemusnahan gading ini, yang terbesar secara global dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menunjukkan tekad dan komitmen Singapura untuk memerangi dagangan haram dalam hidupan liar,” kata lembaga itu dalam satu kenyataan.

Ia termasuklah 8.8 tan gading dirampas tahun lalu dalam rampasan terbesar Singapura bernilai S$17.6 juta, tambahnya. – AFP

Gading-gading dirampas dipamerkan oleh pihak Lembaga Taman Nasional Singapura sebelum dimusnahkan sempena Hari Gajah Sedunia di Singapura. – AFP