SINGAPURA, 13 OGOS – Singapura hari ini meningkatkan unjuran pertumbuhan ekonominya untuk tahun ini selepas mengatasi jangkaan pada suku kedua dan optimis bahawa sektor pembuatan akan pulih secara beransur-ansur.
Kementerian perdagangan berkata ia melihat ekonomi dipacu eksport berkembang 2 ke 3 peratus tahun ini berbanding unjuran sebelumnya 1 ke 3 peratus.
Ia meningkat 1.1 peratus tahun lepas dan 3.8 peratus pada 2022.
Prestasi ekonomi negara kota itu sering dilihat sebagai barometer persekitaran global kerana pergantungannya pada perdagangan antarabangsa.
Ia meningkat 2.9 peratus pada April-Jun, data kementerian perdagangan menunjukkan hari ini lebih baik daripada anggaran 2.7 peratus dan berikutan pengembangan 3.0 peratus yang dilihat dalam tiga bulan sebelumnya.
Di antara pasaran eksport utama, kementerian berkata permintaan dari Amerika Syarikat dilihat berkurangan secara beransur-ansur berikutan penggunaan yang perlahan, manakala ekonomi China diramalkan ‘mengembang pada kadar perlahan sedikit’ pada separuh kedua.
Bagaimanapun, pertumbuhan di zon euro diramalkan bertambah baik, manakala ekonomi utama Asia Tenggara dijangka meningkat sedikit.
“Secara seimbang, prospek permintaan luar Singapura dijangka berdaya tahan sepanjang tahun ini,” kata kementerian perdagangan.
Ia juga menyatakan kemungkinan menghadapi halangan termasuk potensi ‘bertambahnya konflik geopolitik dan perdagangan’ dan keadaan kewangan yang lebih ketat yang boleh ‘mencetuskan turun naik pasaran atau kelemahan terpendam dalam sistem perbankan dan kewangan’.
Pembuatan yang merupakan tonggak ekonomi utama, menguncup 1 peratus ke tahun pada suku kedua, terjejas oleh pengeluaran yang lemah dalam farmaseutikal.
Bagaimanapun, itu lebih kecil daripada pengecutan 1.7 peratus pada suku pertama. – AFP