Singapura perhebat saringan hadapi gelombang baharu komuniti

SINGAPURA, 10 SEPT – Singapura memperhebat program saringan untuk mengesan kes COVID-19 lebih awal berikutan gelombang baharu jangkitan dalam kalangan komuniti ketika ini, menurut pasukan pelbagai kementerian (MTF) republik itu.

Menurut unjuran semasa, MTF berkata ‘berkemungkinan kita akan mencecah lebih 1,000 kes harian, yang dikesan menerusi saringan itu’.

MTF menyatakan gelombang jangkitan semasa bermula 23 Ogos dan ini adalah kali pertama republik itu mengalami peningkatan mendadak gelombang jangkitan dalam komuniti.

Pada 9 Sept, Singapura mengesan sejumlah 450 kes jangkitan COVID-19 komuniti.

MTF menyatakan, jumlah kes harian meningkat sejak minggu sebelumnya, dengan purata 76 kes sehari sebelum ini kepada 288 kes pada minggu lalu.

Pada sidang akhbar maya hari ini, Pengerusi Bersama MTF yang juga Menteri Perdagangan dan Industri, Gan Kim Yong, berkata ‘peningkatan mendadak itu begitu membimbangkan’.

“Meskipun kadar vaksinasi kita sudah mengatasi banyak negara dan satu daripada negara yang mempunyai kadar vaksinasi tertinggi dunia, kami mahu memastikan jumlah kes tidak naik mendadak kerana ia boleh menjurus ke arah kes yang lebih serius dan menjejaskan sistem penjagaan kesihatan kita.

“Oleh itu kami mahu lebih berhati-hati dan memberi lebih masa untuk memastikan bahawa jumlah kes harian yang tinggi, tidak mengakibatkan jumlah kes serius yang tinggi atau kematian,” katanya. – Bernama