SINGAPURA, 25 Sept – Pihak Berkuasa Imigresen dan Pemeriksaan Singapura (ICA) akan memperluas secara progresif percubaan sistem BioSkrin untuk pelawat berkereta yang tiba dan berlepas menerusi pusat pemeriksaan Tuas dan Woodlands.
Dalam satu kenyataan di sini, ICA berkata sistem BioSkrin itu akan mengimbas cap ibu jari pelawat yang tiba dan berlepas dari pusat pemeriksaan republik itu.
Dilancarkan pada April 2016, ICA berkata sistem itu telah dilaksanakan di beberapa zon pemeriksaan di pusat pemeriksaan darat Singapura seperti untuk pengembara kereta api dan bas, dan lori serta kenderaan barang.
ICA menyatakan ia akan melakukan pemeriksaan BioSkrin untuk pelawat berkereta berusia enam tahun dan ke atas.
ICA berkata pemandu dan penumpang perlu keluar dari kereta dan mengimbas kedua-dua cap ibu jari bila mereka menjalani pemeriksaan imigresen di kaunter kereta.
Pihak berkuasa itu berkata ia akan melaksanakan BioSkrin di kaunter kereta secara progresif, bagi membolehkan pelawat membiasakan diri dengan proses baharu itu. – Bernama