Singapura rampas hampir 9 tan gading

SINGAPURA, 23 JULAI – Singapura telah melakukan rampasan gading seludup terbesar selepas menyita hampir sembilan tan barangan seludup daripada kira-kira 300 ekor gajah, kata pihak berkuasa, hari ini.

Kargo haram itu ditemui pada Ahad dalam sebuah kontena dari Republik Demokratik Congo yang dihantar ke Vietnam melalui Singapura. Penemuan itu juga termasuk sejumlah besar sisik tenggiling dan merupakan rampasan ketiga seumpamanya sejak beberapa bulan.

Pegawai berkata, gading dan sisik tenggilik itu disembunyikan dalam sebuah kontena yang diisytiharkan dengan muatan kayu untuk dieksport ke Vietnam melalui Singapura, hab terbesar perdagangan global.

“Hasil pemeriksaan, pihak berkuasa menemui 8.8 tan gading gajah,” Lembaga Taman Negara, Kastam dan Imigresen serta Pihak Berkuasa Pusat Pemeriksaan berkata dalam satu kenyataan bersama.

Gading-gading berkenaan dianggarkan bernilai AS$12.9 juta dan rampasan terbesar gading gajah di Singapura setakat ini,” kata kenyataan itu sambil menambah bahawa jumlah itu dianggarkan diambil daripada 300 ekor gajah di Afrika.

Gambar serahan Lembaga Taman Negara Singapura kelmarin menunjukkan sebahagian daripada gading yang dirampas. – AP

Turut ditemui dalam kontena berkenaan ialah 11.9 tan sisik tenggiling yang dianggarkan bernilai kira-kira AS$35.7 juta. Sisik tenggiling berkenaan dianggarkan diambil daripada 2,000 ekor tenggiling.

Ia adalah rampasan ketiga sisik tenggiling yang cuba diseludup masuk ke Singapura sejak April lalu, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan dalam masa tiga bulan kepada 37.5 tan atau bernilai AS$112.5 juta.

Singapura dalam kenyataan itu berkata, barangan yang dirampas akan dimusnahkan.

Tenggiling yang juga dikenali sebagai haiwan pemakan semut dan anai-anai telah diisytiharkan sebagai spesies haiwan yang benar-benar terancam.

Mamalia berkenaan paling kerap diperdagangkan di dunia kerana dagingnya dianggap sebagai makanan istimewa dan sisiknya pula diyakini mempunyai kualiti perubatan. – AFP