Singapura rampas komponen, rokok elektronik bernilai lebih S$130,000

SINGAPURA, 25 MEI – Pihak berkuasa Singapura merampas komponen dan e-vaporiser atau rokok elektronik bernilai lebih S$130,000 daripada tiga lori berpendaftaran Malaysia di Pusat Pemeriksaan Tuas dan Woodlands pada 9 dan 13 Mei.

“Ketiga-tiga kes telah dirujuk kepada Penguasa Sains Kesihatan (HSA) untuk siasatan lanjut.

Empat lelaki rakyat Malaysia, berumur antara 27 dan 52 tahun, kini membantu siasatan HSA,” menurut kenyataan bersama Pihak Berkuasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) dan HSA hari ini.

Kenyataan itu menyatakan pada 9 Mei, pegawai ICA menggagalkan cubaan menyeludup 8,520 keping pod isian semula rokok elektronik ke Singapura melalui lori pengangkut konkrit pratuang.

Pegawai di Pusat Pemeriksaan Tuas yang menjalankan pemeriksaan lanjut menemukan pod isian semula rokok elektronik disembunyikan di dalam kenderaan itu.

Sementara itu, pada 13 Mei, pegawai ICA menggagalkan dua lagi percubaan menyeludup rokok elektronik pakai buang dan pod isian semula ke Singapura. – Bernama