Singapura rekod kematian kelima

SINGAPURA, 3 APRIL – Singapura hari ini melaporkan satu lagi kematian akibat jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kepada lima, di negara tersebut.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Kesihatan republik itu menyatakan telah disahkan bahawa pesakit itu mati akibat komplikasi jangkitan tersebut pada 1:55 pagi.

Kementerian itu berkata, wanita berusia 86 tahun warganegara Singapura itu tidak mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara yang dijangkiti.

Warga emas itu telah dimasukkan ke Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan pada 31 Mac dan telah disahkan dijangkiti COVID-19 pada hari yang sama.

Beliau akhirnya terkorban akibat jangkitan itu, menurut kenyataan tersebut.

Sehingga tengah hari kelmarin, Singapura mencatatkan 1,049 kes yang disahkan positif, 266 pulih manakala 23 berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi. – Bernama

Sebuah ambulans yang dipandu oleh seorang anggota perubatan dengan sut pelindung dilihat keluar dari Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan di Singapura kelmarin. Singapura melaporkan satu lagi kematian akibat jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kepada lima di negara tersebut. – AFP