BEIJING, 12 Jun – Singapura telah menawarkan industri kewangannya untuk membantu mencapai cita-cita China bagi membangunkan rangkaian pelabuhan, landasan kereta api, kilang tenaga dan projek-projek lain di seluruh Asia, Eropah dan timur Afrika.
Dengan menjadi rakan kongsi dalam hal-ehwal kewangan, Singapura berhasrat untuk menjalin hubungan rapat dengan China dan meraih manfaat dari aspirasi global negara Asia itu.
Para pakar berkata ia berdepan persaingan sengit daripada beberapa pusat kewangan lain termasuk Hong Kong dan London, yang juga berharap untuk memainkan peranan penting dalam bidaan China untuk mengintegrasikan ekonomi di sepanjang laluan Jalan Sutera bersejarah.
“Singapura sudah lama menjadi pendukung dalam kebangkitan China,” kata Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Singapura, Vivian Balakrishnan selepas mesyuarat bersama para pegawai China di Beijing hari ini.
“Ini adalah peluang keemasan untuk memulihkan, dalam erti kata, rangkaian perdagangan purba ini.”
Negara kepulauan kecil namun sangat berkuasa dari segi ekonomi ini juga akan bekerjasama dengan China untuk meneruskan perjanjian perdagangan yang tertangguh dalam kalangan 10 negara ASEAN, China, India Jepun dan lainnya, kata Balakrishan.
Perjanjian berkenaan sejak itu diperbaharui setelah Presiden Donald Trump mengeluarkan Amerika Syarikat dari persetujuan perdagangan serantau lain, Kerjasama Trans-Pasifik, yang termasuk Singapura namun bukan China atau India. – AP