Singapura setuju lanjut penangguhan RTS sehingga 31 Julai

SINGAPURA, 3 MEI – Singapura bersetuju untuk terus melanjutkan penangguhan projek Sistem Transit Aliran Ringan Johor Bahru-Singapura (RTS) sehingga 31 Julai 2020.

Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan berkata atas permin-taan Malaysia, “kita telah bersetuju untuk melanjutkan lagi penangguhan untuk kali ketiga dan terakhir.” Beliau berkata projek RTS itu telah ditangguhkan sejak 1 April 2019 bagi membolehkan Malaysia meneliti semula projek berkenaan serta mengemukakan cadangan untuk dipertimbangkan oleh Singapura.

“Perbincangan dua hala mengenai cadangan Malaysia itu aktif dijalankan sejak berbulan lama-nya. Kelancaran itu bagaimana pun telah dijejaskan oleh pelbagai perkembangan, termasuk perubahan kerajaan di Malaysia. “Ini disukarkan lagi dengan berlakunya (penularan) COVID-19,” katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebook beliau hari ini. Mengulas selanjutnya, Khaw berkata memandangkan ini merupakan tempoh lanjutan terakhir, beliau telah meminta pihak terbabit – Kementerian Pengangkutan, Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat dan SMRT Corp untuk segera bekerjasama dengan rakan di Malaysia bagi memuktamadkan perbincangan dengan lebih pantas.

“Mujurlah, kita ada teknologi untuk terus berbincang dan berunding walaupun tidak sama seperti perbincangan secara bersemuka. Namun ini tidak dapat dielakkan kerana sekarang bukanlah tempoh biasa!” – Bernama