Singapura tambah penjejak kontak virus

SINGAPURA, 20 JUN – Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura menambah 200 lagi penjejak kontak kepada 500 orang berikutan peningkatan jangkitan COVID-19 di republik itu.

Keadaan dianggap semakin kritikal kerana sebahagian besar jangkitan terkini membabitkan varian baharu koronavirus yang lebih pantas menular. MOH berkata adalah penting bagi kontak rapat pesakit yang dijangkiti dikenal pasti segera dan diasingkan supaya penyebaran lanjut koronavirus dapat dikekang dan dibasmi. Sebahagian besar tenaga kerja baharu di pusat jejak kontak MOH adalah daripada Pasukan Bersenjata Singapura (SAF) yang menugaskan sekitar 160 individu, lapor akhbar The Straits Times (ST).

Secara berasingan, polis mendapatkan khidmat kontrak tiga pertubuhan menerusi tender bernilai SG$327,000 yang dikeluarkan bulan lalu bagi menyediakan tenaga kerja sokongan. Ketua pusat jejak kontak MOH, Prof Vernon Lee berkata 500 penjejak kontak bukan jumlah besar kerana lebih ramai bertugas sewaktu pemutus rantaian jangkitan COVID-19 tahun lalu. – Agensi