Singapura tarik balik jualan serbuk kacang Singlong

SINGAPURA, 23 FEB – Semua produk serbuk kacang tanah bergula jenama Singlong (gambar bawah) diarah ditarik balik selepas dikesan mengandungi toksin yang boleh menyebabkan kanser.

Agensi Makanan Singapura (SFA) berkata pihaknya mengesan bahan menyebabkan kanser pada kadar yang tinggi dalam produk terbabit.

Menurut laporan oleh CNA, pemeriksaan berkala mendapati kadar aflatoksin dalam bungkusan 300 gram produk itu melebihi had maksimum yang ditetapkan.

Aflatoksin terhasil dalam makanan seperti kacang tanah akibat pencemaran kulat sebelum atau selepas dituai.

Menurut SFA, aflatoksin juga adalah bahan bersifat genotoksik dan karsinogenik, yang boleh merosakkan DNA serta mengakibatkan kanser dan risiko kewujudannya menerusi makanan harus dikurangkan. – Agensi