Singapura teruskan komitmen sebagai hab perdagangan

SINGAPURA, 18 MEI – Singapura meneruskan komitmennya kepada dunia sebagai hab perdagangan; mengekalkan persekitaran perdagangan yang adil dan terbuka dan membenarkan kemasukan barangan penting untuk dihantar ke seluruh dunia di tengah-tengah wabak COVID-19.

“Strategi kepelbagaian kami dalam pembuatan dan kerjasama dengan rakan kongsi di seluruh dunia pada tempoh yang lama juga banyak membantu,” kata Menteri Perdagangan dan Industri republik itu, Chan Chun Sing dalam catatan di laman Facebook.

Catatan Chan di Facebook itu adalah mengenai angka perdagangan luar yang baru sahaja diumumkan oleh Enterprise Singapore (ESG) yang menunjukkan eksport domestik bukan minyak (NODX) meningkat sebanyak 9.7 peratus tahun ke tahun pada April 2020.

“Ia merupakan bulan ketiga berturut-turut Singapura telah menyaksikan peningkatan eksport,” katanya.

Chan berkata pertumbuhan NODX pada bulan April didorong oleh sektor bukan elektronik seperti farmaseutikal dan pembuatan makanan.

“Singapura juga mencatatkan pertumbuhan NODX yang ketara ke Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Jepun dalam tempoh ini,” katanya. – Bernama