SINGAPURA, 17 MEI – Singapura akan menutup sekolah mulai Rabu selepas pihak berkuasa memberi amaran bahawa varian baharu koronavirus seperti yang dikesan di India akan mudah menjangkiti lebih banyak kanak-kanak.
Taiwan juga menutup sekolah-sekolah di Taipei untuk mengekang penularan wabak, dan pulau itu melarang semua warga asing masuk atau transit selama sebulan kecuali mereka yang memiliki kad tempat tinggal.
Singapura dan Taiwan telah memperketat sekatan untuk mengekang lonjakan kes baru-baru ini.
Pihak berkuasa di Singapura pada Ahad mengatakan bahawa sekolah rendah dan menengah serta kolej junior akan beralih kepada pembelajaran di rumah sepenuhnya mulai Rabu sehingga akhir penggal persekolahan pada 28 Mei.
Pengumuman itu dibuat setelah Singapura mengesahkan 38 kes koronavirus dalam kalangan tempatan, jumlah harian tertinggi dalam lapan bulan. Sebilangan kes melibatkan kanak-kanak yang dikaitkan dengan kluster di pusat tuisyen.

Sementara itu, 21 penularan tempatan dilaporkan hari ini.
Menteri Kesihatan Ong Ye Kung ketika berbual bersama pengarah perkhidmatan perubatan kementerian, Kenneth Mak kelmarin dipetik sebagai berkata bahawa varian B.1.617, yang pertama kali dikesan di India, “nampaknya lebih mudah menjangkiti kanak-kanak.”
“Beberapa mutasi ini jauh lebih ganas dan nampaknya menyerang anak-anak yang lebih muda,” kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing.
“Ini adalah tumpuan utama kita pada masa sekarang,” katanya, sambil menambah bahawa tidak ada kanak-kanak yang dijangkiti mengalami simptom serius.
Kerajaan sedang menyusun rancangan untuk memvaksinasi pelajar di bawah usia 16 tahun, kata Chan dalam catatan Facebook.
Taipei juga dalam kenyataannya mengumumkan bahawa sekolah akan menghentikan pembelajaran di dalam kelas mulai esok sehingga 28 Mei.
Ia juga mengumumkan sebanyak 333 lagi kes tempatan dicatatkan hari ini, menjadikan jumlahnya lebih dari 2,000 kes.
Pihak berkuasa hari ini juga mengatakan bahawa semua warga asing akan dilarang memasuki atau melintasi Taiwan untuk bulan berikutnya. – AFP