Singapura umum langkah sokongan virus hari ini

SINGAPURA, 5 APRIL – Singapura akan mengumumkan langkah-langkah sokongan COVID-19 yang ketiga esok untuk membantu pekerja, perniagaan dan isi rumah dalam menghadapi pandemik COVID-19.

Kementerian Kewangan Singapura dalam kenyataan hari ini berkata, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat akan mengumumkan langkah-langkah itu di Parlimen pada 2 petang esok (6 April).

Heng yang juga Menteri Kewangan akan mengumumkan langkah-langkah sokongan yang lebih baik menerusi langkah penjarakkan selamat bagi mengurangkan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di peringkat tempatan.

Pada 3 April, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengumumkan pelaksanaan bulan ‘pemutus litar’ dengan mengenakan langkah-langkah yang lebih ketat mulai 7 April untuk mengurangkan penularan virus itu di republik tersebut.

Sementara itu, Heng dalam laman Facebooknya berkata situasi COVID-19 menunjukkan perubahan yang sangat mendadak sama ada di peringkat global atau tempatan. “Langkah-langkah yang kukuh perlu diambil untuk melindungi rakyat, namun, ia memberikan kesan kepada ekonomi,” kata beliau.

Heng berkata, pengumuman esok merupakan langkah sokongan ketiga yang dilaksanakan oleh republik itu dalam tempoh kurang dua bulan – selepas Belanjawan Perpaduan pada 18 Februari dan Belanjawan Berdaya Tahan pada 26 Mac.

“Ini juga kali pertama ia dilaksanakan,” katanya. – Bernama