Singapura umum langkah tingkat keselamatan perbankan digital

SINGAPURA, 20 JAN – Lembaga Kewangan Singapura (MAS) dan Persatuan Bank Singapura (ABS) memperkenalkan set langkah keselamatan tambahan bagi memperkukuh sistem perbankan digital, memandangkan penipuan pancingan data pengguna menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) semakin menjadi-jadi.

“MAS mengambil berat tentang siri penipuan baru-baru ini dan kerugian kewangan yang dialami mangsa. Ancaman penipuan tidak akan hilang, tetapi kami boleh mengurangkan kelemahan sistem daripada diserang,” kata Pengarah Urusan MAS, Ravi Menon, dalam satu kenyataan.

“Ia memerlukan tindak balas serampang pelbagai merentasi ekosistem,” tambahnya.

Menurut Menon, MAS dan pihak polis, Agensi Pembangunan Media Infocomm, serta agensi kerajaan lain yang berkaitan, bekerjasama dengan industri kewangan dan syarikat telekomunikasi, persatuan pengguna dan pihak berkepentingan lain bagi mengukuhkan daya tahan kolektif daripada serangan penipuan.

Bank-bank di Singapura dengan rundingan dengan MAS, akan berusaha melaksanakan langkah lebih ketat dalam tempoh dua minggu akan datang, antara lain menyingkirkan pautan klik menerusi e-mel atau SMS yang dihantar kepada pelanggan persendirian.

“Bersama-sama MAS serta pemain ekosistem, industri perbankan akan terus diperkukuh bagi melindungi pengguna,” kata pengerusi Persatuan Bank-Bank di Singapura (ABS) Wee Ee Cheong.– Bernama