Singapura unjur KDNK 2019 tumbuh 0.0 hingga 1.0%

SINGAPURA, 13 OGOS – Singapura hari ini menurunkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2019 kepada 0.0 hingga 1.0 peratus berbanding 1.5 hingga 2.5 peratus dengan pertumbuhan dijangka sekitar pertengahan lingkungan sasaran tersebut.

Unjuran itu dibuat selepas mengambil kira keadaan persekitaran ekonomi global dan domestik serta prestasi ekonomi Singapura pada separuh pertama tahun ini, demikian menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MTI) republik itu menerusi Prestasi Ekonomi terkini yang diumumkan hari ini.

Bagi tempoh suku kedua, ekonomi republik meningkat sedikit sebanyak 0.1 peratus pada asas tahun ke tahun iaitu menyederhana daripada pertumbuhan sebanyak 1.1 peratus pada suku sebelumnya.

Menurut MTI, berdasarkan asas tahunan yang diselaras mengikut suku tahunan, ekonomi republik itu menguncup sebanyak 3.3 peratus berbanding daripada berkembang 3.8 peratus pada suku pertama.

Sektor pembuatan misalnya menguncup sebanyak 3.1 peratus tahun ke tahun iaitu lebih tinggi berbanding penguncupan 0.3 peratus pada suku sebelum ini.

Sebahagian besar output atau keluaran pembuatan susut disebabkan oleh penurunan keluaran elektronik, kejuruteraan pengangkutan dan klaster kejuruteraan ‘precision’ atau ketepatan.

Namun, keluaran pembuatan bioperubatan dan pembuatan am mencatat peningkatan. – Bernama