SINGAPURA, 19 FEB – Hab penerbangan Singapura akan mewajibkan syarikat penerbangan yang berlepas dari negara kota itu menggunakan bahan api penerbangan mampan (SAF) mulai 2026 sebagai sebahagian daripada rancangan industri untuk mengurangkan pelepasan karbon, kata Menteri Pengangkutan hari ini.
Namun memandangkan bahan api mesra alam adalah tiga hingga lima kali lebih mahal daripada bahan api jet konvensional, pihak berkuasa akan memperkenalkan cukai ke atas tiket untuk membantu menampung kos, kata Chee Hong Tat dalam sidang kemuncak penerbangan.
Penerbangan bertanggungjawab terhadap kira-kira dua dan tiga peratus pelepasan CO2 global tetapi ia adalah salah satu industri yang paling sukar untuk dinyahkarbon.
SAF dihasilkan daripada sumber biojisim dan sisa yang boleh diperbaharui serta boleh merangkumi sehingga 50 peratus campuran bahan api jet.
Ia dilihat sebagai alat utama untuk menyahkarbonkan sektor penerbangan, tetapi teknologi itu masih pada peringkat awal dan pengeluarannya masih mahal.
“Untuk memulakan penerimaan SAF di Singapura, kami akan mewajibkan penerbangan yang berlepas dari Singapura menggunakan SAF mulai 2026,” kata Chee dalam ucapannya.
Syarikat penerbangan akan dikehendaki menggunakan campuran bahan api jet iaitu 1 peratus SAF pada tahun itu dan meningkat secara beransur-ansur kepada antara 3 dan 5 peratus menjelang 2030, tambahnya.
“Ini akan memberikan isyarat permintaan yang penting kepada pengeluar bahan api dan memberikan mereka insentif untuk melabur dalam kemudahan pengeluaran SAF baharu,” kata Chee. – AFP