Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Singgah perluas rangkaian kedai perdana

    Oleh Daniel Lim & Nurdiyanah R.
    Gambar oleh Daniel Lim

    BELAIT, 18 JAN – Singgah Sdn Bhd (Singgah) telah memperluaskan rangkaian kedai on the go perdananya, dengan pembukaan cawangan ketiga di Stesen Minyak Shell Roxana, Seria, pagi tadi.

    Perasmiannya telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga), Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw selaku tetamu kehormat. Juga hadir ialah Pengarah Urusan BSM, Awang Muhammad Norshafiee bin Dato Paduka Haji Abdul Jalil dan Pengerusi Negara Shell di Brunei Darussalam dan Pengarah Urusan Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Agnete Johnsgaard-Lewis.

    Dalam ucapannya, Awang Muhammad Norshafiee menekankan bahawa dengan adanya minat bersama mereka untuk berkhidmat kepada para pelanggan dan masyarakat, Singgah merancang untuk memacu pertumbuhan di stesen runcit Shell dan berkembang ke seluruh negara sambil terus bekerjasama dengan seluruh masyarakat.

    Beliau turut mengimbau kembali bagaimana cawangan pertama dibuka di Bangunan PGGMB, manakala cawangan kedua di Stesen Minyak Shell Riverine Kampung Buang Sakar, masing-masing pada Januari dan Disember tahun lepas.

    “Terletak di salah satu daripada beberapa stesen layan diri di negara ini, Singgah di Roxana akan berpeluang memberi kemudahan tambahan kepada pemandu dan penumpang dalam perjalanan mereka dengan menyediakan barangan on-the-go daripada makanan dan minuman kepada pelincir dan produk penjagaan kereta,” ujarnya.

    Dato Seri Paduka Haji Matsatejo diiringi oleh Agnete Johnsgaard-Lewis dan Awang Muhammad Norshafiee meninjau barangan yang ditawarkan di cawangan ketiga kedai perdana, Singgah di Stesen Minyak Roxana, Seria, kelmarin.
    Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bergambar ramai bersama tetamu jemputan dan kakitangan semasa majlis perasmian tersebut.
    Dato Seri Paduka Haji Matsatejo semasa merasmikan kedai Singgah di Stesen Minyak Shell Roxana, Seria, kelmarin.
    Dato Seri Paduka Haji Matsatejo menandatangani plak kayu semasa majlis perasmian tersebut.
    Dato Seri Paduka Haji Matsatejo diiringi oleh Agnete Johnsgaard-Lewis dan Awang Muhammad Norshafiee meninjau barangan yang ditawarkan di kedai Singgah di Stesen Minyak Roxana, Seria, kelmarin.
    Awang Muhammad Norshafiee ketika menyampaikan ucapan pada majlis perasmian kedai Singgah kelmarin.
    Gambar kedai Singgah yang terletak di Stesen Minyak Shell Roxana, Seria.

    Beliau menambah bahawa kira-kira 1,000 pelanggan mengunjungi Stesen Minyak Shell Roxana setiap hari untuk membeli minyak dan mereka berbesar hati menyediakan kemudahan untuk para pemandu berehat, mengisi minyak dan recharge dalam suasana santai dengan perkhidmatan pelanggan yang cemerlang sebelum mereka meneruskan perjalanan.

    Dalam pada itu, Pengarah Urusan BSM itu turut mengetengahkan bagaimana Singgah menampilkan kira-kira 20 jenama tempatan, antaranya Happy Cream, Hujan, Two Sons, EnEvo, Kachew, Brunei Halal, Warisan Maruku, NOICE dan banyak lagi.

    “Beberapa produk tempatan ini hanya mempunyai akses kepada pasaran Daerah Brunei dan Muara, dan kini Singgah dan BSM berbesar hati untuk menyediakan mereka dengan platform untuk melayani pasaran baharu,” jelasnya.

    Majlis diteruskan dengan perasmian kedai oleh tetamu kehormat diikuti dengan menandatangani plak kayu dan menonton video pendek yang menonjolkan Tulen, jenama air bagi Singgah yang turut disediakan di kedai tersebut.

    Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR), hasil jualan yang dikutip daripada setiap botol Tulen akan disumbangkan kepada masyarakat yang kurang bernasib baik.

    Dato Seri Paduka Haji Matsatejo turut meninjau pelbagai jenama dan produk tempatan yang terdapat di rak kedai tersebut.

    Di samping itu, Singgah juga mempunyai program Local Featured yang menjemput syarikat dan usahawan tempatan terpilih untuk mengambil bahagian dalam pop-ups in-store sebagai sebahagian daripada inisiatifnya untuk membina komuniti dan kerjasama perniagaan tempatan.

    Pengurus Operasi Singgah di Stesen Minyak Shell Roxana, Dayang Arinah binti Haji Ramle semasa ditemui menjelaskan bagaimana kedai baharu berkenaan mewakili anjakan besar daripada kedai serbaneka konvensional.

    “Kami (Singgah Sdn Bhd) memberi tumpuan terutamanya kepada pelanggan yang mempunyai gaya hidup sibuk dan on-the-go dan mencari tempat yang cepat dan mudah untuk orang ramai datang dan pergi, maka itulah dinamakan ‘Singgah’,” tambahnya.

    Disifatkan sebagai kedai runcit serbaneka hiperlokal untuk pelanggan on-the-go yang dikendalikan oleh pasukan muda tempatan yang sedang berkembang, pembukaan cawangan baharu di Daerah Belait itu mewakili yang ketiga seumpamanya di seluruh negara, dan juga akan berfungsi sebagai saluran untuk perniagaan tempatan mempromosikan produk mereka.

    “Singgah bertindak sebagai platform untuk golongan perniagaan dan usahawan tempatan terutamanya PMKS. Kami menjalinkan banyak kerjasama dan menyokong mereka dari segi pemasaran dan mempromosikan produk mereka di Singgah dengan pangkalan pelanggan sedia ada dan baharu kami,” ujarnya.

    Oleh yang demikian, kongsinya, banyak rak di kedai Singgah dipenuhi dengan pelbagai produk tempatan.

    Dengan keberadaan yang selesa di sepanjang persimpangan menghala ke Pekan Seria juga merupakan kelebihan bagi Singgah. Sehubungan itu, Dayang Arinah menegaskan, bukan sahaja mudah bagi pelanggan untuk ‘singgah’ di kedai untuk membeli barangan, tetapi juga sebagai tempat yang se-suai untuk menganjurkan acara bagi mempromosikan PMKS dan perniagaan tempatan.

    “Kami mahu menyediakan tempat yang mudah diakses di mana para peniaga dan usahawan tempatan boleh menghubungkan komuniti dan orang tempatan,” jelasnya.

    Melihat ke hadapan, Dayang Arinah berkongsi bahawa terdapat rancangan dalam usaha untuk memperluaskan lagi jangkauan Singgah bukan sahaja di Daerah Belait tetapi juga di seluruh negara.

    “Kami mahu mengembangkan dan membantu menyediakan platform bagi penduduk tempatan (peniaga dan usahawan) untuk mempromosikan produk mereka, serta memenuhi keperluan pelanggan setia kami di kawasan itu dengan kedai sehenti yang pantas untuk keperluan mereka,” ujarnya lagi.

    Singgah mengalu-alukan mana-mana pembekal dan vendor berminat yang menawarkan produk unik atau premium untuk mendaftar.

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...