NEW YORK, 5 SEPT – Jannik Sinner semakin hampir merangkul gelaran Grand Slam keduanya pada 2024 apabila dia layak ke separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS) buat julung kali sementara Jessica Pegula mengejutkan Iga Swiatek untuk menamatkan tahun bergolak pemain nombor satu dunia itu.
Pilihan utama Sinner menewaskan juara Terbuka AS 2021 dan naib juara dua kali, Daniil Medvedev 6-2, 1-6, 6-1, 6-4.
Dia akan berdepan pemain ranking ke-25, Jack Draper bagi merebut tempat ke final selepas pemain Britain itu berjaya mara ke separuh akhir acara Grand Slam buat kali pertama dengan kemenangan 6-3, 7-5, 6-2 ke atas pemain Australia, Alex de Minaur.
Sinner, 23, satu-satunya pemain kelompok 10 teratas layak ke separuh akhir bersama pemain nombor 12, Taylor Fritz akan berdepan rakan senegara dari AS, Frances Tiafoe, ranking ke-20, dalam satu lagi pertembungan separuh akhir pagi Sabtu ini.
Pegula yang berada di ranking keenam pula menempah tempat ke separuh akhir Grand Slam buat kali pertama apabila menewaskan Swiatek 6-2, 6-4.
Esok, dia akan bertemu Karolina Muchova yang mengetepikan pemain Brazil, Beatriz Haddad Maia 6-1, 6-4.
Emma Navarro dari AS akan berdepan pemain nombor dua dunia dan juara Terbuka Australia, Aryna Sabalenka dalam satu lagi separuh akhir wanita.
“Ia terlalu sukar, saya tahu ia satu pertarungan yang amat fizikal,” kata Sinner, yang turut menewaskan Medvedev untuk merangkul kejuaraan Terbuka Australia.
“Ia agak pelik dalam dua set pertama, sesiapa yang melakukan break mula kalah.”
Draper adalah pemain lelaki pertama Britain yang layak ke separuh akhir sejak Andy Murray menang 12 tahun lalu. – AFP