Sinner pemain termuda juara ATP

WASHINGTON, 9 OGOS – Pemain dari Itali, Jannik Sinner, kini pemain termuda memenangi ATP setelah meraih gelaran ketiganya semalam, mengatasi pemain Amerika Syarikat, Mackenzie McDonald 7-5, 4-6, 7-5 di final Terbuka Citi.

Pemain nombor 24 dunia, Sinner, berusia 19 tahun yang menang di Sofia tahun lalu dan Melbourne pada bulan Januari, memenangi hadiah utama berjumlah AS$350,755 dalam acara gelanggang keras Washington.

“Saya sangat gembira dengan kejohanan ini dan menang,” kata Sinner.

McDonald, berada di kedudukan ke-107 dan bermain di final ATP pertamanya.

“Pertarungan besar di setiap bahagian permainan,” kata Sinner. “Saya berusaha untuk tetap tenang dan bekerja keras untuk memanfaatkan segala peluang yang ada.”

Jannik Sinner dari Itali semasa meraikan kemenangan menentang Mackenzie McDonald dari Amerika Syarikat di perlawanan akhir Terbuka Citi di Pusat Tenis Rock Creek semalam. – AFP

Sinner menjadi juara ATP 500 termuda dalam 146 acara sejak kategori itu diadakan pada tahun 2009, memecahkan rekod Alexander Zverev yang berusia 20 tahun di Washington pada tahun 2017.

“Saya tidak bimbang,” kata Sinner. “Ada banyak pemain yang tampil lebih baik daripada saya. Ini bukan mengenai yang termuda. Saya hanya mahu bekerja keras dan bermain perlawanan yang bagus.”

Sinner menjadi juara Washington ketiga termuda setelah Andy Roddick yang berusia 18 tahun pada tahun 2001 dan Juan Martin del Potro yang berusia 19 tahun pada tahun 2008.

“Saya tidak melihat adakah saya yang termuda kerana perjalanan masih panjang,” katanya. “Masih banyak tugas yang perlu dilakukan. Saya sudah fokus pada minggu depan.”

Sinner mara ke suku akhir di Terbuka Perancis 2020, adalah finalis Itali pertama dalam sejarah 52 tahun pada acara di ibu negara AS itu. – AFP