Sinovac pertahan vaksinnya berkesan

KUALA LUMPUR, 23 JULAI – Sinovac Biotech Ltd, syarikat yang membangunkan vaksin COVID-19 CoronaVac, mempertahankan keberkesanan vaksin dua dosnya, termasuk terhadap varian Delta.

Jurucakap syarikat Liu Peicheng berkata meskipun belum ada lagi data tersedia mengenai kesan perlindungannya, kajian membuktikan keberkesanan vaksin itu di beberapa negara seperti Brazil, Indonesia, Chile dan Turki yang telah menggunakan vaksin tersebut secara meluas.

“Keberkesanannya melebihi 90 peratus terhadap jangkitan parah dan kemasukan ke hospital.

Kami juga melihat bahawa kadar jangkitan selepas vaksinasi sangat rendah di negara-negara ini, dan gejala yang ringan dalam kebanyakan keadaan.

“Walaupun ada penurunan dalam kesan peneutralannya, vaksin Sinovac ketika ini (CoronaVac) tetap efektif terhadap varian Delta,” kata Liu, yang berpangkalan di ibu pejabat syarikat itu di Beijing, dalam jawapan bertulis kepada Bernama.

CoronaVac Sinovac, adalah vaksin tidak aktif dan antara vaksin COVID-19 paling banyak digunakan di dunia.

Namun, akhir-akhir ini terdapat kebimbangan mengenai keberkesanannya terutama terhadap varian yang lebih mudah berjangkit seperti Delta.

Pada 16 Julai, kerajaan Malaysia menyatakan akan menghentikan penggunaan vaksin Sinovac di bawah Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 (PICK).

Bagaimanapun, 14 juta dos vaksin masih tersedia untuk negeri dan syarikat swasta yang berminat, bermula bulan ini hingga September. – Bernama