Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Siput gergasi berpotensi jejas kesihatan manusia

    NEW PORT RICHEY, AMERIKA SYARIKAT – Ia mungkin tidak bergerak cepat tetapi ia boleh berkembang biak dengan pantas dan kelaparan: seekor siput gergasi Afrika, berpotensi memberi risiko kesihatan kepada manusia, sekali lagi telah ‘menakluki’ selatan Amerika Syarikat (AS) iaitu Florida.

    Jason Stanley, pakar biologi di Jabatan Pertanian Florida, berkata haiwan gastropod itu telah memakan lebih 500 jenis tumbuh-tumbuhan.

    “Kami khuatir dengan kehadiran haiwan seperti itu pada persekitaran kita,” katanya kepada AFP.

    Sejak 23 Jun, kakitangan dari agensi itu telah pun menggeledah di sepanjang taman di New Port Richey, sebuah bandar kecil di pesisir barat Florida, di mana spesies invasif itu ‘bermaharajalela’.

    Seekor siput gergasi Afrika boleh bertelur sehingga 2,000 biji setiap tahun, jelas Stanley, tambahan lagi dengan seleranya – boleh mengakibatkan bencana bagi industri pertanian di negeri itu.

    Jabatan itu menunjukkan siput-siput gergasi Afrika yang berjaya ditemui dengan pelbagai saiz berdekatan dengan kawasan pemeriksaan di New Port Richey, Florida. – AFP
    Jay Pasqua semasa menunjukkan siput gergasi yang telah mati, yang dijumpainya di belakang rumahnya. – AFP
    Salah seorang kakitangan Jabatan Pertanian Florida sekali gus pengendali anjing pengesan siput, Mellon semasa menjalankan pemeriksaan. – AFP
    Kakitangan Jabatan Pertanian Florida menunjukkan telur-telur siput yang disimpan dalam botol selepas menemukannya berdekatan dengan kawasan pemeriksaan dijalankan. – AFP

    Pada sebidang tanah berumput di New Port Richey, Mellon iaitu sejenis anjing Labrador kuning telah dilatih untuk mengesan siput berkenaan, yang berjalan bersama dengan pengendalinya.

    Ia bergerak ke sebatang pohon dan mula menghidu di sekitar kawasan berumput, apabila Mellon akhirnya berjaya mengesan siput itu, ia duduk di atasnya, seperti mana ia dilatih untuk melakukannya.

    Pihak berkuasa Florida percaya bahawa siput itu yang berasal dari timur Afrika, telah diperkenalkan semula kepada negara tersebut ketika seseorang membawanya sebagai haiwan peliharaan.

    Tidak seperti siput besar berwarna coklat, baka tertentu itu mempunyai daging berwarna putih.

    “Siput dengan fenotip berwarna keputih-putihan itu sangat popular dalam perdagangan haiwan peliharaan,” kata Stanley.

    Dengan bantuan Mellon dan haiwan pengesan siput yang lain, lebih dari 1,000 ekor siput Afrika gergasi telah berjaya diperoleh di Pasco County, tempat terletaknya New Port Richey.

    Pihak berkuasa juga cuba menghapuskan siput gergasi itu dengan menggunakan metaldehid, racun perosak yang tidak berbahaya kepada manusia dan haiwan, menurut kerajaan.

    Jabatan Pertanian Florida menu-buhkan zon pengasingan diri dalam kawasan New Port Richey: tiada tumbuh-tumbuhan lain boleh diasingkan dari kawasan itu dengan usaha untuk menghalang siput dari terus membiak.

    Pembawa penyakit berbahaya
    “Isu lain yang berpunca dari siput itu adalah ia membawa cacing paru tikus, yang boleh menyebabkan meningitis pada manusia,” tambah Stanley.

    Parasit jenis itu, yang dikesan dalam kalangan siput yang ditangkap di Pasco County, memasuki paru-paru tikus apabila ia memakan siput dan kemudian merebak apabila tikus berkenaan batuk.

    Jika manusia termakan salah satu daripada cacing itu, kata Stanley, ia biasanya menuju ke otak, di mana ia boleh menyebabkan meningitis.

    Penduduk tempatan, Jay Pasqua masih tidak percaya bahawa huru-hara yang berlaku disebabkan oleh siput gergasi Afrika.

    Pada akhir Jun lalu, pegawai Jabatan Pertanian datang ke kedai pembaikan dan pemotong rumput di New Port Richey untuk memberitahu tentang kemunculan spesies invasif tersebut.

    “Pada mulanya, agak kelakar melihat semua perhatian yang diperoleh seekor siput,” kata lelaki berusia 64 tahun itu kepada AFP.

    “Tetapi (selepas) mula memahami proses pembiakannya, bagaimana haiwan itu sampai ke sini, dan penyakit apa yang dibawanya serta masalah yang boleh timbul, ia menjadi satu kekhuatiran pada ketika itu,” katanya lagi.

    Sejak itu, beliau telah menemui puluhan haiwan perosak itu di tamannya. Namun, selama tiga hari beliau tidak menemukan satu ekor pun.

    Siput gergasi Afrika itu telah dihapuskan daripada bahagian lain di Florida dua kali sebelum ini, pertama pada 1975 dan kemudian sekali lagi pada tahun lalu.

    Kempen penghapusan itu mula dijalankan di Miami-Dade County dan ia adalah hasil usaha selama 10 tahun dengan kos bernilai AS$23 juta.

    Stanley berkata beliau tetap optimistik bahawa kali ini ia akan menjadi mudah.

    “Setakat ini, ia telah diasingkan pada satu kawasan, dan kami telah meninjau dan merawat kawasan itu. Jadi kami benar-benar berharap agar kerja-kerja penghapusan itu tidak mengambil masa yang lama,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...