Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Dengan hasrat untuk menyokong Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA), BR Patrick Agency bakal melaksanakan siri acara amal menerusii pada Januari 2024.
Diadakan untuk membantu mengutip dana bagi YASKA, acara akan disemarakkan dengan dua acara larian iaitu 130km Closed Run dan 3km Fun Run.
Perkara tersebut telah dikongsikan semasa majlis sidang media di The Hub, Kompleks Impiana Jaya, Kiulap, kelmarin.
Antara yang hadir bagi menyampaikan penerangan terperinci dan soal jawab mengenai acara berkenaan ialah Premier Life Advisor BR Patrick Agency, Raymond Pang; Senior Life Advisor BR Patrick Agency, William Bon; Presiden YASKA, Dayang Tsara Nawwarah binti Abdullah Chen dan Premier Life Advisor BR Patrick Agency, Jonathan Bong.
Mereka menjelaskan bahawa acara amal berkenaan akan dimulai dengan 130km Closed Run yang bakal menyaksikan para peserta melalui cabaran ketahanan larian selama 33 jam merangkumi tiga buah daerah bermula dari Daerah Belait ke Daerah Brunei dan Muara.
Larian berkenaan akan disertai oleh lima orang pelari berpengalaman terdiri daripada Raymond Pang, Eric Pui, Jan Shim, Jin Ng dan Michelle Chong, masing-masing dengan pencapaian yang mengagumkan.
Para peserta akan memulakan larian sekitar tengah malam dari Kompleks Harapan di Kuala Belait pada pagi Jumaat dan berakhir di Pantai Serasa, Daerah Brunei dan Muara pada pagi Ahad sekitar Januari tahun depan.
Manakala itu, bagi acara 3km Fun Run pula, orang ramai dialu-alukan untuk turut serta memeriahkannya yang akan berlangsung di Pantai Serasa sambil menanti kedatangan lima peserta yang menamatkan cabaran mereka bagi 130km Closed Run.
Sidang media berkenaan turut menyaksikan sesi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara BR Patrick Agency dan YASKA yang diwakili oleh William Bon dan Dayang Tsara Nawwarah sekali gus bagi merasmikan bermulanya kerjasama acara tersebut.
Sesi pendaftaran bagi acara 3km Fun Run dibuka pada November ini manakala kutipan tabung dana BR Patrick Go! untuk YASKA dibukakan bermula kelmarin.