Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MEI – Tajuk ‘Kekayaan Perbendaharaan Kata dalam Bahasa Melayu-Indonesia’ menjadi perbincangan pembentangan ke-14 Siri Kongres Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu (KABSBM) sempena Bulan Bahasa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei yang berlangsung secara maya, hari ini.
Seramai 128 orang menghadiri KABSBM kali ini termasuk Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah; Pemangku Pengarah DBP Brunei, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab; Pemangku Timbalan Pengarah DBP Brunei, Hajah Sariani binti Haji Ishak, para pemakalah dari dalam dan luar negara, rakan-rakan strategik DBP, pegawai-pegawai kanan kerajaan, para pencinta bahasa, sastera dan budaya dari dalam dan luar negara.
Pembentangan kali in menampilkan pemakalah yang berasal dari Perancis iaitu Jururunding Syarikat PrepAsia, Perancis, Dr Laurent Metzger. Manakala itu, pengerusi kongres pula ialah Pegawai Bahasa di DBP Brunei, Awang Raieham bin Mohd Salleh.
Antara yang dihuraikan ialah kekayaan perbendaharaan kata dalam Bahasa Melayu-Indonesia yang mempunyai pelbagai sifat sangat menarik dan bagaimana sesuatu peribahasa itu mempunyai kepelbagaian makna dari satu bahasa ke bahasa lain.
Dalam pembentangan tersebut, Dr Laurent turut menyatakan bahawa dunia menghadapi ancaman daripada Bahasa Inggeris yang dalam proses mempengaruhi semua bahasa termasuk bahasa Melayu-Indonesia dan Perancis.
Secara kesimpulannya, kertas kerja yang dibentangkan bertujuan untuk menunjukkan betapa luas perbendaharaan kata bahasa Melayu-Indonesia. KABSBM dengan tema utama ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ itu turut didukung bersama oleh rakan-rakan strategik DBP iaitu Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Majlis Belia Brunei (MBB), ASTERAWANI Brunei dan Kumpulan Putra Seni (KPS).