Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Siri KABSBM kupas historisisme baharu

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MEI – Siri Kongres Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu (KABSBM) sempena Bulan Bahasa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei melalui Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa secara maya telah diteruskan lagi hari ini dengan mengupas tajuk ‘Historisisme Baharu dan Kesedaran Bangsa’.

    Siri pembentangan kali ke-12 berkenaan menampilkan pemakalah dari Singapura, iaitu Pengarah Eksekutif Asia Journalist Association-Singapore Office (AJA-SO), Dr Norman Suratman. Manakala itu, pengerusi kongres pula ialah Ketua Bahagian Sastera dan Majalah, DBP Brunei, Dr Haji Mohd Ali bin Haji Radin. 

    Antara yang dihuraikan dalam pembentangan kali ini ialah historisisme atau kesejarahan yang boleh diandaikan sebagai satu pendekatan untuk menjelaskan kewujudan sesuatu fenomena termasuk idea dan kepercayaan khususnya amalan sosial dan budaya dengan mengkaji bagaimana sejarah berlaku dalam sesebuah masyarakat. 

    Perhatian dunia luar khususnya negara-negara barat terhadap rantau Nusantara telah membuka peluang bagi kuasa-kuasa luar untuk menutup dan memalsukan fakta-fakta keilmuan dan struktur kehidupan masyarakat Melayu masa silam. 

    Selain itu, unsur-unsur pemisah antara Falsafah Kesejarahan Islam dengan barat seperti unsur spiritualisme dan psikologi insan-Khalik yang tidak terdapat dalam pendekatan historisisme barat turut dihuraikan dalam pembentangan kali ini. 

    Antara yang mengikuti pembentangan ke-12 siri kongres berkenaan, kelmarin.

    Seramai 110 orang menghadiri KABSBM berkenaan secara maya yang terdiri daripada Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab; Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Hajah Sariani binti Haji Ishak, para pemakalah dari dalam dan luar negara, rakan-rakan strategik DBP, pegawai-pegawai kanan kerajaan, dan para pencinta bahasa, sastera dan budaya dari  dalam dan luar negara. 

    Penyelenggaraan KABSBM dengan tema utama ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ ini turut didukung bersama oleh rakan-rakan strategik DBP iaitu Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Majlis Belia Brunei (MBB), ASTERAWANI Brunei dan Kumpulan Putra Seni (KPS).

    KABSBM dilaksanakan secara bersiri mulai 16 Mac hingga 22 Jun depan dengan pembentangan kertas kerja dua kali seminggu, iaitu setiap Isnin dan Rabu. 

    Kongres berkenaan antara lain bermatlamat untuk menggabungkan pakar-pakar bahasa, sastera dan budaya di peringkat antarabangsa dan tanah air dalam upaya untuk berkongsi pengetahuan, ilmu, dan gagasan melalui dinamik pengetahuan, pengalaman dan tingkat kepakaran tertentu. 

    Seramai 23 pembentang makalah yang terdiri daripada tiga makalah ucaptama dan 20 makalah iringan dijadualkan untuk membentangkan kertas kerja masing-masing sepanjang kongres berkenaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...