Siri kuliah perkaya ilmu sastera

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Siri Kuliah Kesusasteraan Bandingan MASTERA ke-22, 2019 anjuran MASTERA Malaysia untuk MASTERA Brunei Darussalam telah diadakan hari ini, di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Berakas.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab selaku pemangku pengerusi MASTERA Brunei Darussalam.

Turut hadir ialah Pembimbing Kuliah Sastera Bandingan MASTERA 2019, Dr Noridah binti Kamari dari MASTERA Singapura, Pengarah Pusat Pengajian Islam Sultan Omar ‘Ali Saifuddien Universiti Brunei Darussalam (UBD), Profesor Madya Ampuan Dr Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah selaku pendamping kuliah, ahli-ahli Sidang MASTERA Brunei Darussalam, para pensyarah, ketua bahagian, pegawai-pegawai kerajaan, guru-guru institusi pengajian tinggi, mahasiswa dan mahasiswi, para pelajar, penulis, penggiat dan peminat sastera tanah air.

Awang Suip dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan bahawa Kesusasteraan Bandingan adalah disiplin ilmu yang mengkaji sastera secara perbandingan bukan sahaja melihat persamaan dan perbezaan, malah melihat keunikan dan elemen-elemen yang terkandung dalam sesebuah karya sastera.

Menurut beliau, kuliah tersebut memperdengarkan perkongsian ilmu bandingan yang akan membawa mereka untuk mengetahui kajian yang lebih mendalam mengenai perbandingan antara sejarah sastera dan sastera sejarah.

Profesor Madya Ampuan Dr Haji Brahim dan Dr Noridah semasa mengendalikan siri kuliah tersebut.
Antara yang hadir di majlis tersebut.

Pemangku Pengarah DBP berharap agar kuliah tersebut akan mampu menambah dan memperkaya ilmu pengetahuan tentang disiplin Kesusasteraan Bandingan, sekali gus menjadi pemangkin dan pencetus kepada peserta yang hadir khususnya golongan generasi muda untuk menghasilkan penyelidikan dan kajian Sastera Bandingan demi mengangkat dan memartabatkan Sastera Melayu serantau.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian kuliah bertajuk ‘Yang Terlepas Tersisih dan Terasing: Kajian Bandingan Penulisan Sejarah Sastera di Nusantara’ oleh Dr Noridah.

Kuliahnya antara lain menyentuh mengenai sejarah sastera dalam konteks Kajian Bandingan yang sering kali cenderung ke arah ‘Eurosentrisme’.

Dr Noridah menjelaskan bahawa Kajian Bandingan antara sastera Asia Tenggara memperlihatkan persamaan dan perbezaan di mana jalur sejarah yang hampir sama berdepan dengan penjajahan dan peperangan yang menuju kemerdekaan.

Beliau mengambil contoh pada Sastera Melayu Thailand yang mempunyai kedudukan unik.

Menurut beliau, bangsa Melayunya pernah dijajah sementara namun negaranya tidak pernah dijajah atau ditakluki yang membuatkan kedudukannya yang terasing dan tersendiri.

Objektif siri kuliah tersebut adalah bagi memberi bimbingan dan pendedahan kepada pelajar, siswazah, penyelidik dan pengkaji sastera di Asia Tenggara untuk mendalami disiplin Kesusasteraan Bandingan.

Selain itu, ia juga bagi membina dan meningkatkan kepakaran dalam kalangan para penyelidik, pengkaji dan karyawan sastera dalam bidang Kesusasteraan Bandingan dan membina dan mencetuskan dialog intelektual dalam kalangan penyelidik, pengkaji dan karyawan sastera serta mereka yang terlibat dalam disiplin Kesusasteraan Bandingan.

Bahkan siri kuliah itu juga adalah bagi memperoleh idea dan fikiran yang lebih bernas untuk memperkuat teori dan aplikasi Kesusasteraan Bandingan, mewujudkan wahana penyebaran disiplin Kesusasteraan Bandingan dalam konteks MASTERA dan menerbitkan bahan kuliah supaya dapat menjadi buku rujukan Kesusasteraan Melayu khususnya dalam bidang Kesusasteraan Bandingan.