Sirisena tidak bertanding pemilihan semula

COLOMBO, 6 OKT – Presiden Sri Lanka, Maithripala Sirisena memutuskan untuk tidak bertanding dalam pemilihan semula November ini ketika keluarga bekas pemimpin berpengaruh, Mahinder Rajapakse mencalonkan dua saudaranya menjelang pendaftaran akhir hari ini.

Nama Sirisena tidak berada dalam senarai 41 calon yang membayar deposit menjelang tengah hari ini untuk bertanding pilihan raya presiden pada 16 November, menurut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya negara itu.

Ia bermaksud, Sirisena akan meninggalkan jawatannya sehari selepas pilihan raya, memendekkan penggal lima tahun pentadbirannya kepada 52 hari.

Seorang jurucakap Parti Kebebasan Sri Lanka (SLFP) dianggotai Sirisena mengesahkan, beliau tidak bertanding pemilihan semula.

Sirisena mencetuskan krisis perlembagaan tahun lalu apabila memecat Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe dan menggantikannya dengan bekas presiden, Rajapakse.

Mahkamah Agung kemudian memutuskan menolak tindakan Sirisena dan mengembalikan semula jawatan Wickremesinghe.

Dua saudara kandung Rajapakse, adik bongsunya Gotabhaya dan abangnya, Chamal, membayar deposit untuk menjadi calon dan mencabar Sajith Premadasa, timbalan pemimpin Parti Bersatu Nasional pimpinan Wickremesinghe.

Gotabhaya, bekas Setiausaha Kementerian Pertahanan ketika kekuasaan abangnya selama sedekad menjadi calon utama, namun berdepan beberapa kes mahkamah berhubung dakwaan rasuah dan kesahihan kerakyatan Sri Lanka miliknya. – AFP