Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Sisa organik ubah komuniti Santiago

    SANTIAGO – Setiap pagi, trak-trak akan mengutip ubi kentang dan kulit buah avokado, kulit limau dan sisa-sisa makanan lain yang ditinggalkan tergantung dalam beg di depan pintu rumah penduduk di kawasan paling miskin di Santiago atau pun di dahan pokok atau dalam tong sampah khas.

    Selama hampir dua dekad, penduduk di La Pintana telah menjadi perintis kitar semula di Chile – penjana sampah terbesar di Amerika Selatan.

    Di bawah projek yang bermula pada 2005, komuniti yang terdiri daripada 190,000 penduduk dengan penuh bersemangat mengumpul buangan makanan berasaskan tumbuhan, yang seterusnya akan diproses menjadi kompos untuk membantu menghijaukan komuniti mereka.

    Di La Pintana, di mana 15 peratus daripada penduduk hidup dalam kemiskinan, 50 peratus daripada bahan buangan organik komuniti dikumpulkan untuk dikitar semula – satu angka yang jauh lebih tinggi daripada 0.8 peratus yang dicapai oleh Chile secara keseluruhan, menurut data kementerian alam sekitar.

    “Mereka banyak memproses bahan buangan: mereka menghasilkan kompos dan ia digunakan untuk komuniti itu sendiri, untuk dataran dan kebun,” beritahu penduduk La Pintana, Jose Vera kepada AFP ketika dia meninggalkan dua kotak kadbod besar yang berisi sekerap dari laluan jalan kaki, berasa bangga dengan sumbangannya.

    Pemandangan tumbuh-tumbuhan yang ditanam menggunakan sisa organik yang menjalani proses kitaran semula di komuniti La Pintana, Santiago, Chile. – AFP
    Pekerja majlis bandaran, Recoleta menunjukkan tanah dengan cacing selepas menggunakan sisa organik di Santiago. – AFP
    Pekerja perbandaran mengutip bahan organik yang akan dihantar untuk dikitarkan semula di La Pintana, Santiago. – AFP

    “Ia juga menjimatkan untuk kawasan perbandaran disebabkan mereka tidak lagi perlu membeli baja atau membayar yuran tempat pelupusan sampah,” katanya.

    Chile menghasilkan kira-kira 1.3 kilogram bahan buangan setiap orang dalam sehari – keluaran tertinggi di Amerika Selatan, menurut data Bank Dunia.

    Dan dari segi kitaran semula, ia jauh daripada sasaran yang ditetapkan malah lebih rendah daripada purata 4 peratus bahan buangan pejal di kawasan perbandaran yang diproses di Latin Amerika.

    Namun La Pintana, salah sebuah kawasan pertama di ibu negara Chile yang melaksanakan projek itu, kini mengumpul kira-kira 20 tan bahan buangan organik setiap hari.

    Ia dihantar ke sebuah kilang tempatan yang menukar sekerap kepada baja asli untuk tapak semaian kawasan perbandaran mereka sendiri dan juga bandar lain.

    Majlis perbandaran menganggarkan ia akan menjimatkan kira-kira AS$100,000 setahun – wang yang boleh disalurkan kepada projek komuniti lain.

    “Terdapat perubahan dalam sikap penduduk sejak projek dilancarkan,” ujar Vera.

    “Mereka kini mengambil berat mengenai proses kitar semula dan tidak lagi meletakkan sayur-sayuran bersama sampah.”

    Tapak semaian La Pintana, dibina di tapak yang digunakan sebagai tempat pelupusan sebelum ini, menghasilkan kira-kira 100,000 tanaman dengan 400 spesies berlainan setiap tahun.

    Ia ditanam semula di La Pintana, salah satu kawasan di Santiago dengan ruang hijau paling sedikit setiap penghuni.

    Tapak semaian itu menggunakan kira-kira satu tan humus – bahan pejal organik hitam yang terhasil apabila tumbuh-tumbuhan reput atau terurai – setiap tahun, menurut anggota projek, Cintia Ortiz.

    Kesemuanya diperoleh daripada bahan buangan tanaman La Pintana.

    “Humus ini, faedah yang diberikan kepada kami semua, adalah ia bersifat organik, hasil usaha komuniti dan pekerja,” beritahu Ortiz kepada AFP.

    Selain itu, ‘tatkala kami membekalkan nutrien kepada tanaman, kami juga tidak perlu menggunakan bahan kimia.’

    Menanam bunga di luar pusat sukan perbandaran, pekerja majlis bandaran, Jeanette Gonzalez memberitahu AFP projek itu ‘membawa kegembiraan kepada kami. Bandar menjadi semakin cantik.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...