Sissy Imann menangis di studio

Dek terlalu gementar, penyanyi, Sissy Imann menangis sebelum memulakan sesi rakaman single balada sulungnya, Bisa Mencinta.

Kali pertama emosi tersentuh hingga menangis, Sissy, 25, memberitahu, dia berulang-alik ke studio rakaman sebanyak tiga kali bagi merakamkan Bisa Mencinta.

“Pada sesi pertama, saya merakamkan rangka lagu. Kali kedua, abang Faizal Tahir sebagai penerbit, memberitahu ‘feel’ saya tidak sampai.

“Lagu Bisa Mencinta agak sukar untuk dihayati. Ia bukan lagu sedih yang memerlukan kita merintih, tetapi mempunyai pelbagai perasaan yang perlu disatukan serentak.

“Disebabkan itu, kali ketiga saya ke studio rakaman, saya menangis sehingga abang Faizal dan Mike Chan menyuruh saya balik.

Penyanyi Sissy Imann menangis sebelum memulakan sesi rakaman single balada sulungnya, Bisa Mencinta. – Agensi

“Namun, saya teruskan juga. Mungkin disebabkan saya menangis, Alhamdulillah rakaman dapat diselesaikan dengan cepat kerana emosi saya dapat dihayati. Seumur hidup saya tak pernah menangis sebelum merakamkan lagu,” katanya.

Sissy atau nama sebenarnya, Sissy Imann Mohammad Kamil, berkata disebabkan terlalu gementar, dia tidak banyak berkongsi mengenai proses pra produksi lagu terbaharunya itu.

“Selalunya, sebelum lagi dilancarkan, saya berkongsi proses rakaman, muzik video dan sebagainya. Tetapi kali ini, saya tidak berbuat begitu.

“Jika hendak diikutkan, lagu ini dirangka sebelum saya melancarkan single Sudahlah (Meow!), iaitu sebelum November, tahun lalu. Tetapi, disebabkan kurang yakin, saya tangguhkan projek ini,” katanya.

Bagaimanapun, Sissy mengakui, masanya sudah tiba untuk dirinya keluar dari zon selesa dengan mencuba sesuatu yang baharu.

“Peminat selalu tertanya bila saya akan menghasilkan lagu balada. Ada juga yang mahu saya menyanyikan lagu ciptaan orang lain. Jadi, inilah masanya,” katanya.

Sissy berkata, biarpun lagu Bisa Mencinta dicipta Amir Hariz, dia diberi kebebasan untuk menyampaikan mengikut cara sendiri.

“Itu yang membuatkan lagu ini masih ‘dekat’ kerana saya masih ada sentuhan dan apa yang dikatakan ‘cop mohor’ Sissy Imann,” katanya.

Sissy gembira apabila Bisa Mencinta yang dirakamkan Mei lalu, menyerlahkan sisi diri yang lebih matang.

Bisa Mencinta diterbitkan Faizal manakala Amir dan Mike adalah penciptanya. Single itu dilancarkan di platform digital Joox pada 14 Ogos lalu, disusuli video muzik di YouTube pada 17 Ogos lalu. – Agensi