Tuesday, February 18, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sistem BDNSW dilaksana

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mei – Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kewangan telah melaksanakan Sistem Brunei Darussalam National Single Window (BDNSW) sebagai sebahagian sumbangan kepada pembentukan ASEAN Single Window (ASW) dengan matlamat mencepatkan pelepasan kargo dalam konteks integrasi ekonomi ASEAN yang kian meningkat.

    Ia merupakan antara usaha kerajaan dalam menyokong inisiatif negara untuk terus meningkatkan perkhidmatan kepada orang awam dan memudahkan perniagaan seberang sempadan yang akan memberi manfaat kepada sektor swasta termasuklah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

    Kementerian Kewangan dalam kenyataannya hari ini berkata, bagi Negara Brunei Darussalam, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) di bawah Kementerian Kewangan telah diberikan kepercayaan untuk melaksanakan BDNSW.

    Ia bertujuan mengubah fungsi-fungsi perniagaan menjadi proses elektronik bersepadu yang membolehkan komuniti perniagaan mengemukakan permohonan secara elektronik kepada JKED bagi pemprosesan dan kelulusan.

    Selain daripada memudahkan import dan eksport barangan ke seberang sempadan, BDNSW juga bertujuan meningkatkan kutipan hasil menerusi pengintegrasian dengan jaringan e-pembayaran, projek utama di bawah Kementerian Kewangan.

    Imej portal BDNSW.
    Imej portal BDNSW.

    Pembayaran dimudahkan dengan menggunakan perbankan Internet yang mana JKED telah melaksanakannya, kata Kementerian Kewangan.

    Menurut kenyataan itu lagi, BDNSW melibatkan 20 buah agensi kerajaan yang berurusan dalam mengawal kegiatan pelbagai jenis barangan import dan eksport.

    Proses bersepadu ini akan dapat mempercepatkan perlepasan kargo melalui kaedah memudahkan proses dan prosedur berkaitan perniagaan dalam kalangan agensi-agensi itu.

    Sistem elektronik juga akan mengurangkan dokumen kertas dan bilangan kunjungan ke kaunter kerajaan.

    BDNSW adalah sistem yang membolehkan satu pengemukaan data dan maklumat; satu pemprosesan data dan maklumat segerak; satu keputusan yang dibuat bagi perlepasan kastam dan satu keputusan atau perkara keputusan bagi perlepasan kargo oleh JKED jika keputusan yang diambil oleh kementerian-kementerian berkaitan dan agensi dinyatakan dengan segera.

    Proses melibatkan penggunaan platform online biasa, satu laluan elektronik bagi pertukaran dan pengemukaan maklumat dan dokumen perdagangan oleh perniagaan dan orang awam kepada agensi-agensi yang mengawal.

    Banyak deklarasi perniagaan digabungkan menjadi satu deklarasi dan dikemukakan secara elektronik kepada agensi-agensi bagi kelulusan dan bagi membuat keputusan secara automatik.

    Ini akan memudahkan perniagaan sah dan mengurangkan kos berurus niaga di negara ini, jelas kenyataan itu lagi.

    Kementerian Kewangan berkata, untuk memastikan komuniti perniagaan mendapat pemahaman lebih baik tentang bagaimana fungsi BDNSW dan bagaimana ia memberi manfaat kepada perniagaan dari segi mengurangkan masa dan kos berkaitan perdagangan, JKED telah mengadakan beberapa penerangan ringkas dan jerayawara di seluruh empat daerah sama ada diadakan oleh Kementerian Kewangan atau agensi-agensi lain seperti Darussalam Enterprise (DARe) yang terutamanya menyasarkan PMKS yang berminat menerokai peluang-peluang perniagaan pada masa akan datang.

    JKED bercadang untuk seterusnya menambah lagi BDNSW menerusi pelaksanaan kelulusan-auto bagi import dan eksport barangan biasa.

    Pada Disember 2016, sebanyak 10,546 daripada 13,591 deklarasi telah meraih kelulusan auto berbanding hanya 5,053 daripada 13,771 deklarasi pada November iaitu sebelum pelaksanaan kelulusan-auto.

    Penambahbaikan seterusnya telah dibuat dan penggabungan baru-baru ini Modul Pelepasan Pelabuhan dalam BDNSW akan membolehkan ejen-ejen perkapalan untuk memohon bagi Sijil Pelepasan Pelabuhan dari BDNSW.

    Penambahan baru ini adalah salah satu daripada inisiatif untuk seterusnya mempercepatkan proses ketibaan dan perlepasan kapal dan juga untuk memberikan perkhidmatan selesa kepada ejen dengan mengetepikan dokumen fizikal untuk dikemukakan kepada empat agensi kerajaan iaitu Jabatan Pelabuhan, Jabatan Laut, JKED dan Kementerian Kesihatan.

    Dengan adanya BDNSW menyediakan piawaian perhubungan terbuka antarabangsa, masyarakat perniagaan di Brunei Darussalam akan dapat bertukar-tukar data dengan cara yang selamat dan boleh dipercayai dengan mana-mana rakan dagangan lain bukan saja dalam ASEAN bahkan juga rakan-rakan perniagaan bukan ASEAN yang menggunakan piawaian sama.

    Ia juga memastikan masa proses yang lebih cepat dan mudah, cara berurus niaga yang lebih telus dan meningkatkan produktiviti, kecekapan dan persaingan, kata Kementerian Kewangan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda