Sistem Beidou pendukung asas pembangunan pertahanan China

BEIJING, 11 OKT – Tahun 2021 menyaksikan China melancarkan sistem pengemudian satelit global Beidou III dan perkhidmatan aplikasi Beidou selaras dengan hasrat negara untuk menuju ke arah perkhidmatan ruang-masa (space-time) baharu.

Selaras dengan perkembangan “Beidou +” dan “+ Beidou” yang semakin luas, aplikasi, urusan dan model baharu turut sama berkembang maju.

Presiden Persatuan Navigasi Satelit China, Yu Xiancheng berkata, Sistem Global Beidou merupakan prasarana maklumat ruang penting kepada China.

“Sistem Beidou memainkan peranan sebagai pendukung asas terhadap pembangunan pertahanan negara, ekonomi, sains dan teknologi,” katanya sempena Persidangan Aplikasi Beidou China dan Persidangan Tahunan ke-10 Perkhidmatan Navigasi dan Lokasi Satelit China kelmarin.

Pada persidangan itu, beberapa pakar turut sependapat bahawa ekologi perindustrian perkhidmatan pengemudian dan lokasi satelit sedang mengalami perubahan ketara.

Gambar menunjukkan sidang kemuncak antarabangsa pertama mengenai aplikasi sistem satelit pengemudian Beidou di Changsha, China. – Xinhua

Pakar berpendapat perkhidmatan ruang-masa yang tepat pula secara beransur-ansur menggantikan perkhidmatan lokasi semasa sehingga menjadi haluan utama pembangunan industri ini.

China berjaya membentuk rantaian pembangunan industri Beidou yang lengkap dan bebas dengan produk berkaitan Beidou telah dieksport ke lebih 120 buah negara dan kawasan di dunia, selain memberikan perkhidmatan kepada ratusan juta pengguna.

Sementara itu, “Kertas Putih mengenai Perkembangan Industri Perkhidmatan Navigasi dan Lokasi Satelit China 2021” pula menunjukkan bahawa sistem Beidou sedang berkembang menuju ke fasa baharu melibatkan perkhidmatan ruang-masa bersepadu.

Unjuran menunjukkan sistem Beidou akan membantu pembentukan pasaran perkhidmatan maklumat ruang-masa berskala RMB800 bilion (RM517.76 bilion) hingga 1,000 bilion(RM 647.2 bilion) menjelang 2025.

Untuk rekod, perkhidmatan sistem Beidou ketika ini melibatkan sektor perhubungan lalu lintas dan pengangkutan, keselamatan umum, pencegahan dan pengurangan bencana, pertanian, perhutanan, penternakan dan perikanan serta tadbir urus bandar.

Selain itu, sistem Beidou turut diselaraskan ke dalam prasarana seperti elektrik, kewangan dan komunikasi selain digunakan dalam bidang penggunaan khalayak, ekonomi perkongsian dan kesejahteraan hidup rakyat yang berjaya mengubah gaya hidup rakyat.

Pada akhir 2020, lebih tujuh juta kenderaan beroperasi, lebih 30,000 kenderaan penghantar dan ekspres, kira-kira 1,400 buah kapal rasmi, dan sekitar 300 buah pesawat umum di China telah menggunakan sistem Beidou.

Sementara, hampir 45,000 unit mesin pertanian pemanduan automatik telah dilengkapi dengan sistem Beidou sekali gus menjimatkan 50 peratus kos buruh. – Bernama