Sistem Braille, perjanjian Marrakesh perkasa OKU penglihatan

KUALA LUMPUR – Muhammad Adib Azim Jaswan dilahirkan sihat tetapi pada usia lima tahun, putera kepada Ilyana Mohd Ali ini terpaksa hidup sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan apabila kedua-dua belah matanya terpaksa dibuang kerana penyakit kanser.

Begitu pilu hati seorang ibu yang terpaksa menerima hakikat perjalanan hidup anak ketiganya itu, yang kini berusia 11 tahun dan mesra dengan panggilan Adib.

Berkongsi kisah dengan Bernama baru-baru ini, Ilyana, seorang suri rumah berkata, Adib dikesan menghidap masalah mata pada usia tiga tahun apabila terdapat warna kuning pada anak mata hitamnya.

“Saya membawa Adib ke Hospital Putrajaya dan kemudian dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur. Berikutnya Adib disahkan menghidap kanser mata pada kedua-dua belah matanya. Pada 2013, doktor menasihatkan agar mata kanannya dibuang dan seterusnya mata kiri juga terpaksa dibuang dua tahun kemudian pada usianya lima tahun.

“Doktor juga menasihatkan saya menghantar Adib ke sekolah untuk memulihkan emosinya memandangkan dia sudah banyak mengenal benda malahan pernah melihat. Pada awalnya amat sukar saya dan suami untuk melaluinya, tetapi dengan semangat dari orang terdekat, kami dapat menempuhi ujian ini dengan baik,” tambahnya.

Guru cemerlang pendidikan khas Siti Suhaila Burihan semasa ditemu bual Bernama. – Bernama
Buku braile yang digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran OKU Penglihatan. – Bernama
Buku teks Matematik yang dihasilkan secara kod tulisan braille di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Cacat Penglihatan Setapak. – Bernama

Inisiatif pulih emosi

Ibu kepada lima orang cahaya mata itu turut mengambil inisiatif menghantar Adib ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Brickfields ketika anaknya itu berusia lima tahun.

Menurut Ilyana, di PDK itu, Adib berpeluang untuk mengenali ramai rakan yang senasib dengannya di samping guru juga banyak membantu dalam usaha memulihkan emosi selain Adib juga mula belajar pengurusan diri sebagai OKU penglihatan.

Beliau juga memohon kepada guru-guru di situ untuk membenarkan Adib untuk menguasai Braille Rumi dan Jawi.

“Alhamdulillah, sewaktu Adib masuk darjah satu di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (1) bagi Program Pendidikan Khas IntegrasI (PPKI) Masalah Penglihatan, guru-guru di sekolah pun terkejut kerana Adib mampu menguasai penggunaan Braille dengan baik.

“Mesin Braille berharga antara RM4,000 hingga RM5,000. Saya tak rasa semua anak yang senasib dengan Adib mampu membelinya. Untuk Adib, kami mendapatkan maklumat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Putrajaya dan dapat bantuan mesin Braille tetapi tetap perlu membayar kira-kira 10 peratus daripada harga mesin.

“Sebenarnya agak sukar untuk mendapatkan bantuan macam ni, saya pun kurang pasti mengapa. Disebabkan itu, saya cuba bantu memberikan informasi kepada ibu bapa lain (berhubung bantuan mesin Braille). Saya amat memahami kesusahan anak-anak dan ibu bapa jika tiada mesin Braille ini, bagaimana mereka mahu meneruskan proses pembelajaran di rumah? Di sekolah, mesin Braille ada disediakan tetapi jika rosak memang akan memakan masa yang lama untuk dibaiki, sampai kadang-kadang anak-anak terpaksa berkongsi mesin Braille semasa belajar,” jelasnya.

Kekangan bahan, buku rujukan

Adib menggunakan sepenuhnya buku teks ditaip Braille yang disediakan pihak sekolah, namun jika mahu mendapatkan buku rujukan lain, memang sukar. Untuk buku kelas tambahan pula, buku rujukan ada jual di kedai tetapi bukan dalam bentuk Braille.

“Untuk buku cerita, terdapat pihak luar yang taip Braille atas tulisan Rumi dan ia dijual secara dalam talian. Saya beli dan kami baca bersama sebab saya pun masih belum mahir belajar kod Braille. Jika nak pinjam buku, kena pergi Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia tetapi buku pun tak banyak pilihan.

“Al-Quran Braille juga susah nak dapat di kedai biasa, perlu beli di Yayasan Orang Buta Malaysia, atau KL Braille di Sentul.

“Al-Quran Braille ada enam jilid dan memerlukan ruang yang sesuai untuk simpan. Tafsir Quran tak ada dalam Al-Quran Braille, mungkin sebab akan jadi lebih tebal jika dimasukkan tafsir dan ayat bacaan lain,” katanya.

Berharap agar negara dapat menyediakan akses maklumat yang lebih banyak dan pelbagai dalam bentuk Braille, Ilyana pada masa sama berkata, maklumat dalam bentuk audio, large print dan format digital juga sama penting bagi membantu memperkasa golongan OKU penglihatan terutama golongan kanak-kanak dalam aspek pendidikan mereka.

Guru kreatif banyak membantu

Guru-guru di sekolah Adib banyak membantu proses pembelajaran murid-murid OKU penglihatan bagi memastikan golongan itu juga tidak ketinggalan.

Sebagai contoh, dari aspek penyediaan kertas ujian, guru-guru amat kreatif termasuk menggunakan mesin khas bagi tujuan membentuk titik-titik agar soalan dan gambar timbul sekali gus memudahkan anak-anak OKU penglihatan merasa dengan jari dan memahami setiap soalan, langkah dan proses yang cuba disampaikan.

“Aspek audio juga amat penting dan banyak membantu. Cuma itu mungkin itu di peringkat sekolah rendah, jika di peringkat menengah dan universiti mungkin berbeza keperluan dan pendekatannya. Saya ada seorang rakan OKU penglihatan yang bekerja sebagai guru, bayangkan untuk mengajar pelajar celik, beliau perlu terlebih dahulu menghabiskan topik silibus sebelum mengajar.

“Sebagai usaha memudahkan urusan seharian Adib, saya juga turut membelikannya sebuah telefon pintar Android dengan tetapan ‘Talkback’ yang membolehkan akses seperti maklum balas, kadar pertuturan, gerak isyarat atau papan kekunci Braille. Kini sebagai Pengerusi Pertubuhan Dalam Komuniti Penglihatan di Brickfields saya akan berusaha sehabis baik untuk memastikan anak-anak kecil yang senasib dengan Adib dah mula belajar Braille dari umur empat tahun,” kata Ilyana.

Harapan Perjanjian Marrakesh

Sementara itu, pindaan terhadap Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332) baru-baru ini dilihat mampu memberi sinar baharu kepada OKU penglihatan di negara ini untuk Malaysia segera menandatangani Perjanjian Marrakesh (Marrakesh Treaty).

Perjanjian Marrakesh yang bertujuan memberi kemudahan akses kepada pelbagai bahan bacaan kepada OKU penglihatan tanpa sempadan antara lain turut memberi peluang kepada golongan itu untuk menikmati keistimewaan akses maklumat bagi karya seperti Braille, audio, large print dan format digital serta mengurangkan jurang akses pendidikan untuk OKU.

Pengerusi Jawatankuasa Pemba-ngunan Modal Insan, Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Dr Ahmad Shamsuri Muhamad yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya berkata, usaha untuk Malaysia menyertai Perjanjian Marrakesh diperjuangkan oleh banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) OKU Penglihatan sejak 2015.

“Perjuangan dan kerjasama beberapa NGO OKU penglihatan antaranya termasuklah dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada sesi dialog bagi membincangkan persediaan kemasukan Malaysia sebagai ahli di dalam Perjanjian Marrakesh pada 12 April 2018, membuahkan hasil apabila Dewan Negara pada 22 Disember 2021, meluluskan Rang Undang-undang Hak Cipta (Pindaan) 2021,” katanya.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid ketika membentangkan Rang Undang-undang Hak Cipta (Pindaan) 2021 berkata, pindaan terhadap Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332) adalah bagi memastikan undang-undang hak cipta yang dilaksanakan memberi perlindungan dengan lebih efisien dan efektif selaras dengan keperluan semasa bagi memenuhi kehendak komuniti perniagaan dan pihak-pihak yang berkepentingan.

Pindaan berkenaan juga sebagai persediaan bagi Malaysia untuk menyertai Marrakesh Treaty To Facilitate Access To Published Works For Persons Who Are Blind, Visually Impaired Or Otherwise Print Disabled (Marrakesh Treaty) bagi mengiktiraf hak OKU (Orang Kelainan Upaya) penglihatan untuk mendapatkan karya dalam format boleh akses seperti yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 29 Oktober 2021.

Langkah seterusnya

Penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Marrakesh akan turut memperbanyak jumlah koleksi buku di dunia bagi kegunaan OKU penglihatan, menerbitkan bahan bacaan boleh akses tanpa melanggar undang-undang hak cipta serta mewujudkan kerjasama strategik antara empunya, penerbit, pengguna dan pengendali perkhidmatan karya hak cipta. – Bernama