Thursday, February 13, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sistem kesihatan Brunei dipuji

    Oleh Ishan Ibrahim

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 April – Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus, salah seorang daripada tiga calon bagi jawatan ketua pengarah 2017 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberikan pujian kepada sistem penjagaan kesihatan Negara Brunei Darussalam dan berkata, keutamaan Kementerian Kesihatan dan wawasan beliau bagi kesihatan sedunia pada asasnya selari.

    Tumpuan negara ke atas penyakit tidak berjangkit yang dipelopori oleh Kementerian Kesihatan telah dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi dalam satu pertemuan, baru-baru ini.

    Menurutnya, beliau sangat tertarik dengan pembentangan mengenai penyakit tidak berjangkit yang disampaikan oleh Menteri Kesihatan dan pasukan profesionalnya yang mengetengahkan usaha keras kerajaan untuk membasmi penyakit tidak berjangkit di negara ini.

    “Kenyataan wawasan saya (bagi pencalonan ketua pengarah WHO) agak serupa dengan objektif yang dinyatakan oleh Kementerian Kesihatan dan ini termasuk perlindungan kesihatan universal yang telah dicapai Brunei, kecemasan kesihatan yang berkeupayaan mengukuhkan kapasiti pihak berkuasa kebangsaan untuk mengesan, mencegah dan menguruskan situasi kecemasan kesihatan, mengutamakan kebajikan wanita, kanak-kanak dan remaja terutamanya mengenai keadilan gender, menangani isu-isu perubahan iklim dan alam sekitar, dan akhir sekali mentransformasikan WHO untuk menjadi agensi yang lebih bertanggungjawab,” jelas Dr. Tedros.

    Katanya lagi, beliau secara keseluruhannya sangat tertarik dengan pusat-pusat kesihatan di Brunei semasa lawatannya, memuji kecekapan rutin harian mereka; seperti contoh, para pesakit dapat berjumpa doktor dengan mudah kerana prosedur yang mengambil masa telah ditiadakan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain bergambar bersama Dr. Tedros pada acara Bandarku Ceria.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain bergambar bersama Dr. Tedros pada acara Bandarku Ceria.

    Sistem kawalan pasport di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei juga menerima pujian daripada Dr. Tedros apabila memberi komen bahawa kakitangan di kawalan pasport pantas dan cekap.

    Ini menunjukkan kecekapan sistem kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, katanya.

    Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah turut menarik perhatian Dr. Tedros, dengan berkata bahawa menyaksikan sistem latihan dan pendidikan di institut itu merupakan satu pengalaman yang baik.

    “Kualiti keseluruhan sistem di institut itu adalah cemerlang dengan pasukan kakitangan yang kompeten dan ini membawa petanda baik bagi penjagaan kesihatan di negara ini,” ujarnya.

    Dr. Tedros memuji Brunei atas usaha-usahanya melaksanakan Matlamat Pembangunan Mapan (SDGs), yang pada dasarnya seruan universal kepada tindakan untuk menghapuskan kemiskinan, melindungi bumi dan memastikan semua orang menikmati keamanan dan kemakmuran.

    “Ini terbukti dalam pembangunan sistem perumahan kebangsaan yang dilaksanakan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kecekapan sistem pendidikan yang ada di negara ini,” katanya.

    Beliau juga memuji inisiatif ‘Bandarku Ceria’ sambil berkata, “Pergerakan kebangsaan ini akan membantu dalam menangani penyakit tidak berjangkit, dengan orang ramai dari pelbagai latar belakang berbasikal, berjoging, berjalan, melakukan aerobik dan berseronok.”

    Dalam pada itu, beliau turut menyatakan rasa seronok berbasikal dengan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain semasa ‘Bandarku Ceria’, hari ini.

    “Menjalani gaya hidup sihat merupakan satu pilihan dan jika seseorang mahu sihat, dia perlu bersenam secara tetap dan mengurangkan pengambilan gula dan makanan tidak sihat yang menyumbang kepada penyakit jantung dan penyakit lain,” tambah beliau.

    Ditanya pandangannya mengenai serangan kimia di wilayah Idlib, Syria, baru-baru ini, yang membunuh hampir 90 orang termasuk kanak-kanak, Dr. Tedros menegaskan bahawa tindakan kejam sedemikian yang dilakukan oleh pihak tertentu mesti dikecam dalam istilah paling keras dan serangan serupa tidak boleh berlaku lagi pada masa depan.

    Sementara itu, ditanya mengenai WHO yang agak berdiam diri mengenai serangan kimia itu dan sama ada beliau akan menjadikan WHO lebih bersuara dalam mengecam serangan kejam ke atas wanita dan kanak-kanak berkenaan jika dipilih sebagai ketua pengarah WHO, beliau menjawab:

    “Transformasi WHO adalah sebahagian daripada kenyataan wawasan saya ke arah pencalonan bagi jawatan ketua pengarah WHO.

    “Sebahagian daripada tugas saya adalah mentransformasikan WHO untuk menjadi agensi yang lebih efektif, telus dan bertanggungjawab; ini akan menjadi pembaharuan berani dan penstabilan organisasi dan mewujudkan WHO yang lebih efektif.”

    Dr. Tedros juga ditanya mengenai epidemik Ebola yang menjejaskan Afrika Barat pada 2014-2016 dan sama ada terdapat kemungkinan meletusnya wabak penyakit yang lebih membawa maut pada masa depan.

    “Setentunya penyakit-penyakit yang lebih berbahaya boleh muncul dan letusan wabak boleh berlaku pada masa depan, terutamanya dengan kadar globalisasi pada masa ini, tetapi apa yang penting adalah sama ada negara-negara dan organisasi yang berkaitan bersedia untuk menangani dan menguruskan kecemasan-kecemasan kesihatan sedemikian,” jelas beliau.

    Dr. Tedros dari Ethiopia adalah satu-satunya calon Afrika yang dilantik bagi jawatan ketua pengarah WHO 2017. Beliau mendapat sokongan kuat daripada Kesatuan Afrika dan pelbagai menteri kesihatan dari benua berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda