Sistem kitar semula popular di Norway

FETSUND, NORVEGE – Satu per satu pada satu masa, wanita berusia itu meletakkan botol kosong ke dalam lubang besar sebuah mesin di pintu masuk ke pasar raya Oslo. Dengan sistem deposit yang berjalan lancar, Norway memproses semula hampir kesemua botol plastiknya.

“Anda perlu menghapuskannya, maka anda perlu melakukannya secara bijak,” kata wanita dalam umur 70an, tatkala mesin mengeluarkan tiket dengan kod bar yang membolehkannya mendapat 30 kroner sama ada dalam bentuk wang tunai atau kredit di mesin daftar tunai.

Dengan kadar kitaran semula pada 97 peratus, Norway berada 10 tahun di depan tarikh sasaran 2029 yang ditetapkan oleh EU, di mana negara mesti memproses semula sekurang-kurangnya 90 peratus daripada botol plastik mereka pada masa itu.

Ia dibandingkan dengan 60 peratus di Perancis dan di UK, yang sedang menimbang menggunakan sistem deposit.

Sistem deposit dianggap sebagai kunci kepada kejayaan negara Nordic.

Botol plastik diproses di kilang kitaran semula di syarikat Infinitum, di Fetsund, tenggara Norway. – AFP
Botol plastik yang dikumpul untuk pemprosesan semula digambar di syarikat Tomra Collection Solutions di Asker, tenggara Norway pada 21 Januari 2020. – AFP
Kjell Olav Maldum, pengarah urusan syarikat Infinitum bergambar di kilang di Fetsund, Norway. – AFP

Pelanggan membayar beberapa sen tambahan apabila mereka membeli minuman dalam botol plastik, dan mereka dibayar balik jumlah tersebut apabila mereka mengembalikan botol kosong mereka.

“Apabila anda mempunyai deposit untuk botol kosong, anda sebenarnya memberitahu pengguna bahawa mereka membeli produk tetapi mereka meminjam pembungkusan,” jelas Kjell Olav Maldum, ketua Infinitum, sebuah syarikat yang ditubuhkan oleh pengeluar dan pengedar untuk mengendalikan skim deposit.

Konsep mengembalikan botol kosong telah menjadi amat meluas sehingga terdapatnya kata kerja dalam Bahasa Norway untuknya: a pante (di-sebut Oh pant-uh).

Sebagai bonus tambahan, mesin layan diri kitaran semula ini memberikan pelanggan pilihan untuk menggunakan bayaran balik untuk membeli tiket yang memberi manfaat kepada kebajikan.

Lebih daripada 1.1 bilion botol plastik dan tin aluminium dikembalikan pada 2018 di tempat koleksi di pasar raya, stesen petrol dan kedai kecil.

Di Fetsund, kira-kira 30 kilometer dari timur laut Oslo, terdapatnya aliran trak yang datang berterusan untuk membuang beribu-ribu botol kosong pada satu masa di pusat pemprosesan utama Infinitum.

Melantun di sepanjang tali sawat penyampai, botol plastik yang pernah mengandungi air, jus atau soda diasingkan, dipadat serta ditempatkan di palet yang menyerupai kiub Rubik’s yang berwarna-warni, dipersiapkan untuk hayat kedua selepas dikitar semula.

Setiap botol plastik baharu mengandungi kira-kira 10 peratus bahan dikitar semula, satu tahap yang diharapkan oleh negara akan meningkat dengan cukai regresif yang akan menggalakkan pengeluar untuk menggunakan plastik dikitar semula dan bukannya plastik baharu, yang lebih murah sekarang.

“Kami memanggilnya kitaran semula lingkaran bersih: jika anda meletakkan botol anda dalam mesin, mereka seolah-olah memasuki lingkaran bersih,” kata Harald Henriksen, ketua penyelesaian koleksi bidang perniagaan di Tomra, pemimpin dunia dalam mesin layan diri kitaran semula.

“Anda boleh menggunakannya berkali-kali, dan anda boleh membuat botol baharu banyak kali,” kata beliau.

Dalam contoh ekonomi peredaran, apa yang dianggap bahan buangan oleh sesetengah orang menjadi satu sumber, di mana nilainya menggalakkan pengumpulan dan kitaran semula.

Idea tersebut telah mendapat sambutan di tempat lain.

“Satu contoh adalah Lithuania di mana mereka mempunyai kadar pulangan sebanyak 34 peratus sebelum sistem deposit diperkenalkan, dan pada akhir tahun kedua, ia telah meningkat kepada 93 peratus,” kata Henriksen.

Larissa Copello daripada pertubuhan alam sekitar Zero Waste Europe memberitahu AFP sistem pulangan deposit adalah ‘satu-satunya cara’ untuk memenuhi sasaran EU.

Namun pertubuhan itu juga ingin melihat sistem bercampur yang akan mengumpul botol kaca untuk digunakan semula, dan melanjutkan sistem deposit kepada jenis pembungkusan plastik lain.

Menurut WWF, sebanyak 15 tan plastik sedang dibuang dalam lautan dunia setiap minit.

Sementara industri kitaran semula Norway mengiktiraf keperluan planet untuk mengatasi masalah ini, mereka memikirkan plastik – bahan ringan, praktikal dan murah – masih mempunyai masa depan yang cerah.

“Adakah ia berkaitan masalah dengan plastik itu sendiri, atau adakah cara tingkah laku kami sebagai pengguna,” tanya Maldum. “Plastik masih hebat tetapi jangan biarkannya mencemari alam sekitar.” – AFP