Sistem komunikasi satelit baharu dipasang di ISRO TTC

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Network Integrity Assurance Technologies (NiAT) telah memasang sebuah sistem komunikasi satelit yang baharu, VSAT (very small aperture terminal) di Stesen India Space Research Organisation Telemetry, Tracking and Command (ISRO TTC) di Tungku Submarine Cable Station, Bandar Seri Begawan pada 1 September lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh NiAT, di sini, pemasangan itu dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi India ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ajaneesh Kumar.

Turut hadir semasa pemasangan berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Unified National Networks Sdn Bhd (UNN), Dr Steffan Oehler dan Ketua Pegawai Eksekutif NiAT, Lim Ming Soon.

Sementara itu, menghadiri acara secara maya ialah Pengarah ISTRAC Bengaluru, Dr V V Srinivasan dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif NiAT, Dayang Siti Nuraazzah PDHA Aziz.

Kenyataan menyatakan bahawa pemasangan itu bertujuan untuk menubuhkan hubungan satelit di antara Brunei dan pangkalan pelancaran roket di Sriharikota Range (SHAR), India dan ia akan digunakan sebagai pengantara komunikasi bagi transmisi data dan suara bagi parameter prestasi pelancaran roket ketika terbang melintasi cakerawala Brunei.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa sehingga hari ini, terdapat lebih 20 pelancaran di mana Stesen Brunei TTC turut terlibat sama.

Stesen ISRO TTC memberikan sokongan kepada kesemua pelancaran misi satelit dan kenderaan ISRO. Ia meliputi pemasangan bagi penerimaan dan rakaman pelancaran kenderaan atau isyarat telemetri pesawat angkasa dan transmisi isyarat telekomunikasi dan nada penjejakan untuk melancar kenderaan dan pesawat angkasa.

TYT Ajaneesh Kumar (tengah), Lim Ming Soon (dua, kiri) dan Dr Steffan Oehler (dua, kanan) bersama hadirin lain semasa pelancaran VSAT baharu di Stesen ISRO TTC, pada 1 September lalu. – Gambar serahan ISRO