Sistem penomboran diperlukan

Keluaran pendapat pembaca kali ini, saya ingin mengutarakan tentang kekurangan sistem penomboran yang teratur di Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JAPEM) di Kuala Belait.

Saya terpaksa menunggu lebih daripada tiga jam semasa berkunjung ke pejabat tersebut sebelum nama saya dipanggil. Saya merupakan antara beberapa pesara pertama yang menunggu di luar pejabat itu bermula jam 7 pagi lagi.

Setelah pejabat itu dibuka pada pukul 8 pagi, kira-kira 300 lelaki dan wanita bergegas melalui pintu yang sempit bagi meletakkan buku kecil pencen mereka di dalam kotak yang disediakan di kaunter. Sebaik sahaja selesai, orang ramai tergesa-gesa untuk mendapatkan tempat duduk dengan bilangan kerusi yang terhad di dalam bilik. Dalam kes saya ini, saya gagal untuk mendapatkan kerusi dan terpaksa berdiri sehingga tiga jam kemudian.

Dengan sistem penomboran yang tidak ada, pesara dan penerima sokongan kewangan kerajaan tidak tahu bila nama mereka akan dipanggil. Dalam keadaan ini, mereka tidak mempunyai pilihan melainkan hanya perlu menunggu.

Tidak seperti agensi kerajaan yang lain, sistem di situ perlu lebih teratur dan bersistematik. – Mat Pencen