SHANGHAI – Tidak mampu untuk memiliki sebuah kereta, namun buat seorang pelajar daripada Universiti Shanghai, Long Yi, yang menghadapi kesukaran dalam membuat perjalanan yang jauh dan mahal di bandar raya yang luas itu telah menemui satu penyelesaian dengan skim perkongsian kereta yang semakin mendapat tempat di China.
Perkongsian kereta dan kereta sewa semakin berkembang pesat di negara itu – daripada tiada pada dua tahun yang lalu – apabila penduduk China moden sering mencari sistem kemudahan yang mudah dan murah.
Long, 20, memandu sendiri dengan sistem pengangkutan mudah alih itu ke sekolah dengan hanya 50 yuan (AS$7) menggunakan EV Card, sebuah perkhidmatan yang dilancarkan oleh pembuat milik SAIC Motor yang menawarkan kenderaan elektrik yang terdapat di seluruh bandar itu, mengurangkan masa perjalanan beliau dan mengurangkan kos perbelanjaan sebanyak satu perempat daripada kos teksi.
“Ia adalah lebih murah dan lebih mudah dan sangat fleksibel. Saya akan pilih EV Card sebagai satu cara utama saya dalam pengangkutan pada hampir setiap waktu,” kata Long.
Selepas jualan kereta melambung tinggi selama bertahun-tahun, industri kereta global cuba menimbang kelembapan jualan dan cuba meletakkan saluran jualan alternatif seperti pemfokusan perkongsian kereta.


Perkhidmatan seumpama ini sudah lama wujud di negara-negara Barat, dan skim perkongsian kereta ini masih baru di China, namun ianya semakin meningkat apabila masyarakat Cina cuba menggunakan perkhidmatan itu sebagai satu alternatif pengangkutan mereka.
Para pemandu seringkali menggunakan perkhidmatan itu melalui aplikasi telefon pintar mereka untuk mencari dan membuka kunci kereta tersebut, kemudian meletakkannya di mana-mana sahaja atau lokasi yang sudah ditetapkan. Pada masa ini, China sudah mempunyai perniagaan perkongsian basikal yang mana dapat digunakan melalui GPS dan aplikasi khas, dan juga ia dapat diletakkan di mana-mana sahaja dan ia telah menjadi kecaman kepada penduduk-penduduk bandar China yang ramai.
Berpuluh-puluh syarikat China dan asing kini bercadang untuk melancarkan atau melabur dalam perniagaan perkongsian kereta, dengan pembuatan kereta-kereta khas. Perunding Roland Berger yang berpangkalan di Jerman meramalkan sistem perkongsian kereta ini akan berkembang setiap tahun sebanyak 45 peratus.
“Ini adalah peluang pertumbuhan yang sangat ketara (bagi pengeluar). Terdapat hanya beberapa ratus ribu kereta sekarang, tetapi ia akan berkembang dan berkembang dengan cepat,” kata Johan Karlberg, rakan kongsi berpangkalan di Shanghai bersama dengan Roland Berger.
Syarikat gergasi daripada Jerman, Daimler, telah melancarkan perkhimatan perkongsian kereta di bandar barat daya Chongqing setahun yang lalu dan telah berkembang ke enam buah bandar raya lainnya, dengan lebih daripada 250,000 pengguna berdaftar, kata syarikat itu.
Jochem Heizmann, Ketua Pegawai Eksekutif Volkswagen China, jenama kereta terkemuka di negara ini, memberitahu kepada pemberita baru-baru ini bahawa VW begitu dekat dalam mengukuhkan kerjasama dengan pengendali perkongsian kereta China, Shouqi, yang telah menyediakan perkhidmatan tersebut di beberapa buah kota di sana – sebahagiannya adalah untuk melariskan jualan kenderaan elektrik VW.


“Anda perlu melihat perkembangan ini seperti saluran jualan,” katanya.
Sebahagian model-model kereta yang baru muncul telah dipasang dengan ciri-ciri perkongsian. Lynk & Co – sebuah anak syarikat baru daripada pembuat kereta China Geely, yang memiliki Volvo – akan mengeluarkan kereta SUV yang mempunyai ciri-ciri ‘perkongsian’ elektronik.
Pusat kerajaan China dan pihak berkuasa tempatan berminat untuk mengurangkan kesesakan dan pencemaran udara serta mempelbagaikan insentif kewangan, termasuk syarat-syarat pelesenan yang mudah, tempat letak kereta terjamin dan lain-lain lagi.
Perkongsian kereta ini memudahkan penduduk di China, dimana kebanyakan rakyat Cina sering menghadapi halangan besar pada pemilikan kereta termasuklah kos, tempat letak kereta yang terhad, dan had penggunaan kereta di beberapa bandar-bandar utama di negara itu. Pada tahun 2020, China akan mempunyai hanya 195 juta kereta bagi 355 juta pemandu berlesen, kata Roland Berger menganggarkan.
“Kebanyakan keluarga dari kelas menengah yang mampu untuk membeli kereta kedua mereka, memilih untuk tidak membelinya. Ia merupakan satu kerumitan yang sebenar,” kata Karlberg. Masalahnya, kata penganalisis, adalah bahawa kos permulaan yang tinggi dan halangan-halangan lain dalam industri yang masih baru ini belum cukup untuk memberi keuntungan lagi.
Tetapi mereka menambah bahawa dalam tempoh dua tahun akan datang, jumlah peserta dalam industri ini akan meningkat dan ia boleh menyatukan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam menghasilkan sebuah perniagaan yang mampan. – AFP