Sistem VAR digunakan dalam saingan ACL

KUALA LUMPUR, 24 OGOS – Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bakal menggunakan Sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) buat kali pertama dalam saingan kelab utama benua, Liga Juara-Juara Asia 2020 (ACL) pada September ini.

Badan induk bola sepak Asia itu dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa penggunaan VAR  dilaksanakan bermula pada saingan peringkat suku akhir musim ini sebagai tanda aras baharu kepada pengadil Asia.

Selepas mengadakan pelbagai kursus dan seminar sejak Mac 2017, AFC menegaskan penggunaan VAR mempunyai rekod prestasi yang terbukti dan disahkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) serta Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB).

“Selain itu, untuk mengukuhkan kemampuan AFC menggunakan sistem VAR dalam ACL, satu bengkel Pegawai Maklumat VAR (VIO) akan diadakan pada Rabu untuk memastikan semua VIO mendapat maklumat mengenai perkembangan terkini VAR.

“Sistem VAR yang bertujuan untuk mengurangkan gangguan dengan kebaikan maksimum, terbatas kepada empat keputusan atau insiden yang mengubah permainan khususnya – keputusan gol atau tidak, tendangan penalti, layangan terus kad merah dan keputusan identiti yang salah,” menurut AFC.

Sistem VAR buat pertama kalinya diperkenalkan ketika saingan peringkat suku akhir Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum berjaya digunakan dalam 32 perlawanan pada saingan Kejuaraan AFC Bawah 23 tahun di Thailand pada Januari tahun ini.

VAR yang digunakan secara meluas dalam perlawanan peringkat tertinggi di Eropah termasuk Liga Juara-Juara UEFA, sering dikritik kerana keputusan dipertikaikan.

Saingan ACL yang ditangguhkan sejak Mac lepas susulan pandemik COVID-19, kembali dengan format baharu menyaksikan Qatar menjadi tuan rumah untuk perlawanan zon Barat bermula 14 September, manakala untuk perlawanan zon Timur melibatkan kumpulan G dan H berlangsung di Malaysia mulai 16 Oktober.

Perlawanan peringkat suku akhir bagi zon Barat dijadualkan pada 30 September manakala perlawanan untuk zon Timur berlangsung pada 25 Oktober. – Bernama