Monday, October 7, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Siswa UBD anjur Hari Pemerkasaan Belia

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Okt – Mahasiswa-mahasiswi tahun akhir Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang mengambil modul BB-4332 Pengurusan Projek akan menganjurkan ‘Hari Pemerkasaan Belia UBD’ pada 12 dan 14 Oktober ini di Bangunan Sains Berintegrasi, UBD.

    Acara dua hari itu bermatlamat untuk menggalakkan penglibatan dan pemerkasaan belia menerusi penyertaan dalam pelbagai aspek seperti kepimpinan, kesedaran alam sekitar, inovasi serta falsafah negara, Melayu Islam Beraja.

    Tarikan hari pertama termasuk Pertandingan Tausyeh di antara institusi-institusi pengajian tinggi jemputan iaitu UBD, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Universiti Teknologi Brunei (UTB), Politeknik Brunei (PB) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB). Hari kedua pula akan mengetengahkan persembahan gulingtangan dan kebudayaan.

    Menurut kenyataan penganjur, sepanjang acara dua hari itu, pelbagai aktiviti akan diadakan termasuk kuiz-kuiz MIB, permainan tradisi, kejohanan PS4 FIFA ‘17, khidmat mencuci kereta, pertunjukan kereta dan gerai-gerai jualan.

    Selain itu, pameran oleh pel-bagai pertubuhan belia, agensi-agensi kerajaan dan swasta juga akan diadakan.

    Acara tersebut diadakan sebagai inisiatif menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menyeru bagi pemerkasaan belia di mana mereka dijangka menjadi individu yang matang, patriotik dan beragama yang kompetitif dan menyedari kepentingan kebolehpasaran.

    Menerusi inisiatif berkenaan, belia Brunei diharap akan mendapat inspirasi dan diperkasa untuk terus membuat perbezaan dalam komuniti masing-masing dan selanjutnya.

    Acara itu dijangka akan dilancarkan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda