Wednesday, February 19, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Siswa UBD peroleh pengalaman berguna di Pusat Sejarah

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mei – Empat mahasiswa dan mahasiswi dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang mengikuti program penempatan kerja di Pusat Sejarah Brunei selama 14 minggu telah menerima sijil tamat program penempatan kerja yang berlangsung di Dewan Galeri, Pusat Sejarah Brunei, hari ini.

    Hadir menyampaikan sijil berkenaan ialah Pemangku Timbalan Pengetua, Pusat Sejarah Brunei, Awang Hanafi bin Haji Salleh.

    Para mahasiswa dan mahasiswi yang mengikuti program tersebut adalah dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS) yang mengambil jurusan Pengajian Sejarah dan Kesusasteraan Melayu diberikan tugasan khusus atau projek utama sepanjang program berkenaan iaitu menghasilkan penulisan esei sejarah, praktikal penyelidikan seperti mewawancara, mentranskripsikan sejarah hasil wawancara, menakap batu-batu nisan, dan pelbagai kaedah atau metodologi penyelidikan sejarah.

    Selain itu, mereka juga ditunjuk ajar dan didedahkan tentang teknik penulisan, penyuntingan dan penyemakan di Bahagian Penerbitan dan Pemasaran agar mereka dapat menghasilkan penulisan yang lebih teratur dan bersistematik.

    Penulisan rencana hasil daripada penyelidikan para mahasiswa itu juga disiarkan dalam Majalah Pusaka terbitan Pusat Sejarah Brunei. Begitu juga dengan tugasan khusus yang telah dihasilkan, jabatan sedang berusaha untuk menyusun esei-esei berkenaan menjadi sebuah buku dan menerbitkannya pada masa akan dating.

    Salah seorang mahasiswa  UBD yang menerima sijil program penempatan kerja di Pusat Sejarah Brunei.
    Salah seorang mahasiswa UBD yang menerima sijil program penempatan kerja di Pusat Sejarah Brunei.

    Sepanjang program itu juga, para mahasiswa telah ditempatkan di beberapa bahagian dan unit antaranya Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi, PenBorneo, Unit Perpustakaan, Penerbitan dan Pemasaran, Penggambaran dan Reprografi dan banyak lagi.

    Menurut mahasiswa terbabit, melalui program ini mereka telah banyak memperoleh kemahiran, pengalaman dan pengetahuan baru yang sangat berguna. Segala tunjuk ajar, panduan dan pengajaran akan diguna pakai dengan sebaik-baiknya selepas mendapat pekerjaan tetap.

    Antara objektif program tersebut adalah untuk melahirkan generasi muda dan belia yang berilmu dan berpengetahuan luas dalam pelbagai bidang termasuk sejarah, untuk memberi pendedahan sebelum memasuki alam pekerjaan, untuk menambah ilmu serta kemahiran supaya dapat diaplikasikan dalam pembelajaran di institusi-institusi tinggi, sekolah menengah dan maktab dan juga untuk membantu mempertingkatkan keyakinan diri mahasiswa ke alam pekerjaan sebenar.

    Pusat Sejarah Brunei telah memperkenalkan program ini sejak tahun 2001 lagi, yang mana ia bukan sahaja memberikan pendedahan awal kepada peserta mengenai pengalaman bekerja, tetapi juga berpeluang untuk menerokai dan mengenali Pusat Sejarah Brunei dengan lebih dekat lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda