Selepas dua tahun mendirikan rumah tangga, akhirnya penyanyi dangdut terkenal Indonesia, Siti Badriah mengumumkan dirinya hamil anak pertama.
Penyanyi lagu Lagi Syantik ini berkongsi berita gembira itu menerusi laman Instagram miliknya kelmarin.
Kata Siti Badriah atau lebih mesra digelar Sibad, kurniaan rezeki itu merupakan hadiah cukup bermakna baginya sepanjang melayari kehidupan perkahwinan dengan suaminya, Krisjiana Baharudin.
“Bismillahirahmanirrahim, Alhamdulillah tahun ini mendapat hadiah besar yang tidak ternilai harganya daripada Allah SWT.
“Dua tahun menanti, masih tak percaya sampai saat ini bahawa Allah memberikan janin di dalam rahim, akhirnya saya merasa apa yang saya ingin rasakan. Terima kasih Allah,” tulisnya pada ruangan kapsyen Instagram.
Perkongsian Sibad mengenai kehamilannya itu menerima pelbagai reaksi daripada peminat dan rakan artis.
Rata-ratanya mengucapkan tahniah dan mendoakan semoga urusan penyanyi berusia 30 tahun ini dipermudahkan.
Siti Badriah berkahwin dengan Krisjiana pada 25 Julai 2019. – Agensi